Austria, AS siasat laporan ‘sindrom Havana’


Austria menjadi tuan rumah bagi sejumlah besar diplomat asing yang bekerja dengan PBB berpangkalan di Vienna dan organisasi antarabangsa yang lain. – Gambar AFP, 18 Julai, 2021.

AUSTRIA dan Amerika Syarikat (AS) menyiasat laporan berkenaan diplomat AS dan pegawai lain di Vienna mengalami masalah kesihatan yang dilihat mirip kepada “sindrom Havana”.

Senator AS pada Mei berkata kerajaan sedang menyiasat peningkatan serangan misteri, di tengah-tengah laporan baharu berkenaan beberapa insiden yang berpotensi menyebabkan kerosakan otak di AS.

Serangan yang masih tidak dapat dijelaskan itu menyebabkan penyakit dan kerosakan otak dalam kalangan diplomat AS dan pegawai perisik di Cuba, China, Rusia dan beberapa negara lain.

Moscow disyaki dalang insiden itu, namun mekanismenya masih belum dapat dijelaskan.

Sejak serangan pertama dilaporkan di Cuba pada 2016, dan selepas itu di China, saintis dan doktor berdebat tentang punca dan kesannya, tanpa kesimpulan yang sepakat.

New Yorker melaporkan sejak Joe Biden menjadi presiden tahun ini, kira-kira 24 pegawai perisik AS, diplomat dan pegawai kerajaan yang lain di Vienna dilaporkan menghadapi masalah kesihatan berkenaan.

Kementerian Luar Austria berkata ia bekerjasama dengan pihak berkuasa AS dalam siasatan bersama berdasarkan peranan Austria sebagai negara tuan rumah.

“Kami ambil serius laporan ini. Keselamatan diplomat yang dihantar ke Austria dan keluarga mereka adalah keutamaan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

AS bersiap sedia menubuhkan pasukan pakar kesihatan yang akan cuba menyelesaikan masalah itu, kata pihak berkuasa.

Austria menjadi tuan rumah bagi sejumlah besar diplomat asing yang bekerja dengan PBB berpangkalan di Vienna dan organisasi antarabangsa yang lain. – AFP, 18 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen