Sekolah terus ditutup hingga 31 Ogos, kata KPM


Sesi pembelajaran dan pengajara diteruskan hingga 31 Ogos dan sekolah dibuka semula pada 1 September. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Julai, 2021.

SEMUA sekolah dan institusi pendidikan akan dibuka secara berperingkat untuk sesi pengajaran dan pembelajaran bersemuka bermula 1 September, kata Kementerian Pendidikan hari ini.

Tarikh pembukaan semula itu berdasarkan kadar vaksinasi dalam kalangan guru dan pentadbir, tambahnya.

“Sehingga 16 Julai 2021, seramai 253,366 orang guru dan pentadbir (61.30%) serta 10,876 orang kakitangan sokongan (46.33%) telah menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin.

“KPM ingin memaklumkan bahawa sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan sehingga 31 Ogos 2021,” kata kementerian dalam satu kenyataan.

Ini terpakai untuk semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan berdaftar dengan KPM, tambahnya lagi.

Bagaimanapun, penilaian akan dibuat secara berterusan dan sebarang perubahan akan dimaklumkan kemudian.

“KPM akan terus mengambil kira penilaian risiko oleh KKM dan MKN bagi melihat sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh tersebut. Sebarang perubahan akan dimaklumkan lebih awal.”

Sesi persekolahan bersemuka di sekolah hanya berlaku sementara tahun ini selepas sekolah dibuka semula secara berperingkat pada Mac.

Tetapi, sekolah ditutup semula pada Mei selepas kes Covid-19 melonjak naik dan pada Jun lalu, seluruh negara diletakkan di bawah sekatan pergerakan penuh. – 17 Julai, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen