Doktor kontrak patut diberi jawatan tetap, kata bekas KP kesihatan


Raevathi Supramaniam

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) perlu bersatu dan bertegas terhadap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar doktor kontrak dapat diberi pekerjaan tetap, kata bekas Ketua Pengarah kementerian kesihatan Dr Mohamed Ismail Merican.

Berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara, Malaysia memerlukan profesional penjagaan kesihatan dan tidak masuk akal jika mereka tidak diberi jawatan tetap.

“Kita ada semua doktor ini, anda tidak boleh beritahu yang mereka tiada kerja.

“Dengan pandemik sekarang, anda perlukan profesional. Kita tidak boleh ketepikan masalah ini. KKM perlu bersatu berdepan JPA.

“JPA akan mencari jalan untuk mengambil doktor dan jika anda tidak berbuat begitu, ia keputusan tidak popular,” katanya dalam forum dalam talian yang dihoskan oleh Wong Chun Wai, penasihat The Star Media Group.

Ismail bersara pada 2011 dan memantau pengurusan wabak sindrom pernafasan akut (SARS) yang teruk pada 2003.

Beliau menambah yang nisbah doktor dan pesakit di Kuala Lumpur adalah 1 hingga 300 sementara di Sabah dan Sarawak adalah 1 hingga 3,000.

“Saya yakin ada banyak perkara mereka boleh lakukan. Doktor ini boleh ditempatkan di mana-mana. Jangan hanya fokus di kawasan bandar.”

Sistem doktor kontrak pertama kali diperkenalkan pada 2016 sebagai penyelesaian kepada penangguhan penempatan pegawai.

Bagi memasuki perkhidmatan kerajaan, doktor baharu diberi pakej kontrak lima tahun yang terdiri daripada kontrak tiga tahun dengan pilihan lanjutan dua tahun.

Namun sejak 2016, hanya 789 daripada 23,077 doktor kontrak diberi jawatan tetap dalam perkhidmatan kesihatan awam.

Pada masa kini terdapat 32 sekolah perubatan di Malaysia. Ia termasuk 11 institusi awam dan 21 kolej serta universiti swasta. – 17 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen