Hentikan sikap ‘saya tahu semua, awak ikut sahaja’, kata bekas KP kesihatan


Raevathi Supramaniam

Kes Covid-19 Malaysia terus melonjak naik walaupun pelbagai sekatan pergerakan dikuatkuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Julai, 2021.

PUTRAJAYA perlu menyelaras dan bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi menguruskan pandemik Covid-19 di negara ini dan bukannya hanya bergantung kepada tindakan reaktif, kata bekas ketua pengarah kesihatan Dr Mohamed Ismail Merican.

Katanya, sekatan pergerakan penuh semasa yang dikuatkuasa kerajaan tidak mencapai kesan yang diharapkan kerana jumlah kes jangkitan harian terus meningkat yang membebankan sistem kesihatan negara.

“Kita perlu buat pemetaan risiko dengan faktor epidemiological dan sosioekonomi sebagai kesan akhirnya supaya anda dapat kenal pasti kawasan berisiko tinggi dan melakukan sekatan bersasar. Bukan hanya menteri yang tersenyum-senyum dan ingat mereka sudah buat yang terbaik.

“Jika kita tak berubah dalam masa dua bulan lagi, kita akan nampak benda sama sahaja,” katanya dalam satu forum dalam talian dipengerusikan Wong Chun Wai, penasihat Kumpulan The Star Media.

Dr Ismail yang bersara pada 2011 turut menggariskan beberapa strategi yang memberi penekanan kepada kerjasama dan penyelarasan antara semua pihak untuk mengekang penularan wabak di negara ini.

“Anda perlu melibatkan hospital swasta, hospital universiti, hospital tentera, doktor perubatan umum, pemimpin komuniti dan masyarakat sejak awal lagi.

“Bukannya hanya saya tahu semua yang terbaik, awak ikut sahaja. Orang tak suka begitu,” katanya.

Katanya, Malaysia juga perlu memperhebat saringan dan mempercepat ujian untuk mengelak keputusan tertunggak dan pada masa sama memastikan sistem pengekangan dan pencegahan yang sewajarnya dilaksanakan.

“Sistem penjejakan kontak dan pengasingan kes dah tak berkesan.

“Kadar jangkitan harian untuk Covid-19 adalah 5-8%. Maksudnya jika anda buat pengiraan tentuluar, (kes) harian dalam komuniti kita kira-kira 1.5 hingga 2.5 juta kes.

“Apa yang kita kesan adalah 5,000 dan 10,000 kes yang hanyalah 1% daripada kes aktif dalam komuniti. Ini tidak betul.”

Malaysia melaporkan 12,541 kes baharu semalam, melonjakkan jumlah kes terkumpul wabak negara kepada 893,323 kes.

Beliau turut menyalahkan kadar jangkitan dalam komuniti yang tinggi kepada kos tinggi ujian saringan polymerase chain reaction (PCR)

“Kos ujian mesti percuma atau mampu milik. Ujian PCR adalah saringan terbaik untuk kes teruk tetapi ia mahal untuk rakyat biasa.

“Bila ujian RTK Antigen keputusannya negatif, anda diminta untuk buat ujian PCR untuk pengesahan.

“Tetapi pakcik makcik awak tak akan buat. Mereka akan balik kampung dan menjangkiti satu kampung. Mereka tidak ada pilihan, mereka tidak ada duit. Ini isu yang perlu dibincangkan,” katanya.

Walaupun beliau memuji program vaksinasi yang dijalankan setakat ini, beliau turut berkata pusat vaksinasi mega mencetuskan kluster Covid-19.

Beliau turut hairan mengapa Kementerian Kesihatan tidak terlibat dalam program imunisasi.

Setakat 16 Julai, 13.6 juta orang sudah disuntik, 9.3 juta atau 28.5% menerima dos pertama dan 4.3 juta atau 13.2% menerima dua dos vaksin.

Beliau turut mencadangkan yang kerajaan sepatutnya hanya mempunyai seorang jurucakap untuk isu teknikal kerana terlalu banyak mesej mengelirukan dan tidak jelas.

Selain itu, beliau turut menggesa semua data Covid-19 dianalisis oleh profesional dan dikongsi kepada orang awam. – 17 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen