KERAJAAN India mengarahkan pihak berkuasa Kashmir melarang penyembelihan haiwan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di wilayah majoriti Muslim itu, lapor AFP.
Arahan dikeluarkan pada Khamis lalu.
Lembaga Kebajikan Haiwan India (AWBI) mengarahkan polis dan pihak berkuasa memastikan tiada aktiviti penyembelihan haiwan dijalankan sepanjang sambutan Aidiladha.
Lembu dianggap sebagai haiwan suci bagi penganut Hindu, dan penyembelihan atau memakan daging haiwan itu haram atau dilarang di kebanyakan negeri di India. Larangan penyembelihan yang dikeluarkan pada Khamis lalu pertama kalinya termasuk semua jenis haiwan.
Umat Islam menjalankan ibadah korban dengan menyembelih lembu, unta atau kambing semasa sambutan Aidiladha, sempena pengorbanan yang dilakukan Nabi Ibrahim AS terhadap anaknya, Nabi Ismail.
Umat Islam di India menyambut Hari Raya Aidiladha mulai 21 hingga 23 Julai ini.
Gabungan badan Islam di Kashmir, Muttahida Majlis-e-Ulema (MMU), mengecam arahan terbaharu kerajaan India itu.
MMU dalam satu kenyataan menggesa kerajaan menarik semula arahan tersebut kerana melanggar hak kebebasan beragama. – AFP, 17 Julai, 2021.
Komen