MAJLIS Keselamatan Negara telah mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 untuk kawasan yang pernah dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).
Kawasan-kawasan tersebut kini perlu menjalani Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara.
Awal hari ini, timbalan perdana menteri Ismail Sabri Yaacob mengumumkan PKPD di 34 mukim di Selangor tamat bermula tengah malam ini.
Berikut adalah peraturan terkini yang perlu anda ketahui.
Untuk individu:
- Perjalanan antara negeri dan antara daerah masih tidak dibenarkan tanpa kebenaran polis.
- Dua individu dalam setiap isi rumah dibenarkan keluar untuk beli barang keperluan.
- Tiga orang dibenarkan membuat perjalanan di dalam kenderaan untuk tujuan perubatan, termasuk vaksinasi (pesakit dan dua peneman).
- Perjalanan terhad pada jarak 10km dari rumah, kecuali untuk tujuan perubatan dan vaksinasi.
- Hanya dua orang (pemandu dan penumpang) dibenarkan dalam kenderaan e-hailing atau teksi.
- Berjoging dan senam jalan kaki dibenarkan dari pukul 7 pagi hingga 8 malam di kawasan terbuka di sekitar kawasan perumahan asalkan patuh jarak sosial antara dua hingga tiga meter.
- Makan di tempat masih tidak dibenarkan.
Perniagaan berikut dibenarkan beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 8 malam kecuali dinyatakan:
- Restoran (6 pagi hingga 10 malam) hanya untuk makanan dan penghantaran.
- Kemudahan penjagaan kesihatan, termasuk doktor haiwan.
- Pasar raya, gedung serbaneka, farmasi, kedai runcit dan kedai alat tulis - terhad kepada barang penting.
- Farmasi.
- Pasar pagi (6 pagi hingga 2 petang), pasar borong (tengah malam hingga 6 pagi kemudian 11 pagi hingga 4 petang).
- Stesen minyak (6 pagi hingga 8 malam kecuali stesen yang terletak di lebuh raya bertol).
- Pakar optik.
- Kedai perkakas.
- Kedai dan pengedar perkhidmatan pelanggan telekomunikasi.
- Dobi, termasuk perkhidmatan dobi layan diri.
- Bengkel baik pulih dan servis kereta, serta kedai aksesori.
Kegiatan sosial yang tidak dibenarkan
- Pertemuan bersemuka
- Pengunjung ke rumah kecuali kecemasan atau penghantaran
- Bersiar-siar
- Mesyuarat, konvensyen dan pameran
- Kelas memandu
Perniagaan yang masih ditutup (senarai negatif)
- Pasar tani dan pasar malam.
- Spa, pusat refleksologi, pusat urut, pusat kesihatan.
- Tukang gunting rambut dan pendandan rambut.
- Cuci kereta.
- Kedai pakaian, fesyen dan barang kemas.
- Tadika, kecuali untuk kanak-kanak yang ibu bapa atau penjaga mereka adalah petugas barisan hadapan atau dalam perkhidmatan penting.
- Kemudahan sukan dan rekreasi kecuali taman awam.
- Pawagam, kelab malam dan pub.
- Pusat karaoke.
- Zoo dan taman semula jadi.
Aktiviti agama
- Solat di masjid dan surau terhad kepada 12 orang ahli jawatankuasa. Aktiviti lain tidak dibenarkan.
- Majlis kahwin untuk orang Islam hanya dibenarkan di pejabat jabatan agama negeri.
- Pendaftaran perkahwinan untuk orang bukan Islam dibenarkan di jabatan pendaftaran negara.
- Rumah ibadat bukan Islam boleh mengadakan aktiviti sehingga 12 ahli jawatankuasa sahaja dan tanpa ada ahli jemaah yang hadir.
- Majlis pengebumian mengikut garis panduan pihak berkuasa agama negeri (untuk umat Islam) dan kementerian perpaduan (untuk bukan Islam).
Aktiviti pembuatan produk penting seperti makanan, penjagaan kesihatan, perubatan, peralatan pelindung diri akan dibenarkan beroperasi pada kapasiti 60%.
Baik pulih rumah dan kerja-kerja pembinaan kritikal seperti penyelenggaraan jalan dan jambatan, kawalan pengurusan lampu isyarat dan pembaikan serta pemeriksaan lif dibenarkan. – 16 Julai, 2021.
Komen