Pejuang gilap bakat Abu Hafiz ganti Syed Saddiq


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong Nabihah Hamid

Pejuang sedang menggilap bakat pensyarah UIA Dr Abu Hafiz Salleh Hudin untuk menggantikan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai ikon pemuda. – Gambar The Malaysian Insight, 17 Julai, 2021.

PEJUANG sedang menggilap bakat Dr Abu Hafiz Salleh Hudin untuk menggantikan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai ikon pemuda, kata timbalan presiden parti itu Marzuki Yahya.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu kini menggalas tanggungjawab memimpin sayap Pejuang Muda selepas ketuanya Syed Saddiq keluar parti untuk memimpin gerakan Muda.

Sewaktu diwawancara The Malaysian Insight, Marzuki mengakui Pejuang sukar menggantikan Syed Saddiq yang mempunyai pengaruh besar dalam menarik sokongan golongan muda.

Jelasnya, gandingan Syed Saddiq dan Dr Mahathir Mohamad antara sebab dominasi Barisan Nasional (BN) pecah dan gabungan Pakatan Harapan (PH) menang pada 2018.

Gandingan Dr Mahathir dan Syed Saddiq waktu itu mampu meyakinkan pengundi tua dan muda menolak Umno dan membolehkan PH menang 113 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen

Marzuki bagaimanapun percaya Abu Hafiz mampu mengisi lompong yang ditinggalkan Syed Saddiq.

“Pemimpin itu patah tumbuh hilang berganti, pada waktu itu Syed Saddiq ikon yang kita ketengahkan dalam Bersatu.

“Kini Syed Saddiq tak bersama Bersatu tapi buat ketetapan lebih kepada anak muda iaitu Parti Muda.

“Sudah pasti dalam Pejuang kita perlukan sokongan orang muda, sebab itu kita ketengahkan Abu Hafiz, sebagai Pejuang Muda untuk menerajui pemuda kita dalam Pejuang,” kata Marzuki.

Timbalan Presiden Pejuang Marzuki Yahya berkata mengakui sukar menggantikan Syed Saddiq yang mempunyai pengaruh besar dalam menarik sokongan golongan muda. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 17 Julai, 2021.

Marzuki berkata Abu Hafiz membawa pendekatan berbeza dalam Pejuang Muda namun tetap tegas dengan prinsip menentang rasuah.

“Perbandingan paling utama prinsip. Syed Saddiq tokoh dan ikon anak muda begitu baik. Abu Hafiz ikon anak muda juga tapi kita perlu gilap dan ketengahkan, yang paling penting prinsip.

“Kalau daripada awal ada prinsip lawan rasuah dan berpegang kepada pendirian parti tiada beza antara Syed Saddiq dan Abu Hafiz.

“Yang berbeza hanya nama, bentuk badan, dan wajah yang lain… Syed Saddiq mungkin nampak kacak sikit, kalau nak dibandingkan Abu Hafiz tapi Abu Hafiz pun ada orang kata kacak juga.”

Syed Saddiq katanya membawa pendekatan lebih terbuka manakala Abu Hafiz yang juga pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) lebih bersifat kemelayuan.

“Secara mentaliti pembawaan mentaliti Syed Saddiq berbilang kaum tetapi Abu Hafiz tumpu hakikat Melayu dalam negara perlukan platform pokitik baik. Itu beza Syed Saddiq dan Abu Hafiz.

“Dua-dua Melayu, beza ideologi, tak banyak beza cuma ideologi yang penting prinsip itu paling utama,” kata bekas senator itu lagi.

Pada masa sama, Pejuang juga sedia menerima Syed Saddiq untuk kembali ke pangkuan parti, seperti mana mereka mengalu-alukan seorang lagi pemimpin, Dr Maszlee Malik,

Syed Saddiq dan Maszlee merupakan antara ahli Parlimen Bersatu yang bersama Dr Mahathir untuk menubuhkan Pejuang selepas disingkirkan dari Bersatu pada 2020.

Tiga lagi ahli Parlimen yang bersama dalam usaha itu ialah Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Kesemuanya dipecat dari Bersatu kerana enggan menyokong Muhyiddin Yassin dalam kerajaan Perikatan Nasional apabila kerajaan PH tumbang pada Februari 2020.

Berbeza dengan Syed Saddiq yang menubuhkan Muda, Maszlee bagaimanapun memutuskan menjadi ahli Parlimen Bebas.

“Kita terbuka kerana bagi saya Maszlee juga berprinsip begitu juga Syed Saddiq, bagi kita tiada masalah dan kita sentiasa buka pintu dan peluang,” kata Marzuki.

Pejuang pertama kali bertanding dalam pilihan raya kecil Slim selepas ditubuhkan pada tahun lalu dan pendaftarannya baharu diluluskan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) minggu lalu.

Kelulusan itu diberikan pada hari terakhir daripada tempoh 14 hari yang diberikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kepada Kementerian Dalam Negeri untuk meluluskan pendaftaran Pejuang.

Mengulas perkembangan itu, Marzuki berkata Pejuang kini mempunyai kira-kira 20,000 anggota yang berminat untuk menjadi ahli dalam parti yang baru diluluskan pendaftaran itu.

“Dalam masa sebulan ini kita akan buat perhimpunan agung pertama pertama (AGM) untuk mengesahkan semua pelantikan yang ada.

“Termasuk juga akan tubuhkan tiga sayap – Pejuangnita, Pejuangnita Muda, Pejuang Muda. Kita akan buat pengesahan dalam AGM itu,” katanya lagi.

Tambahnya, keahlian Pejuang juga diterima daripada bekas ahli Bersatu dan sekumpulan kecil ahli Umno. – 17 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen