VAKSINASI tanpa janji temu (walk-in) untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas akan bermula esok, kata Khairy Jamaluddin hari ini.
Bagaimanapun, menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata ia hanya terhad kepada mereka yang belum mendapat janji temu melalui aplikasi MySejahtera.
“Mulai esok, Sabtu, 17 Julai 2021, warga emas yang belum mendapat janji temu MySejahtera boleh datang ke pusat vaksinasi di Selangor dan Kuala Lumpur untuk menerima suntikan.
“Saya ingin menegaskan kemudahan walk-in ini hanya untuk mereka yang belum menerima janji temu melalui MySejahtera,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba di Putrajaya.
Khairy meminta mereka yang mempunyai janji temu di MySejahtera tidak hadir di pusat vaksinasi dan menimbulkan kekeliruan.
“Ia hanya untuk individu berusia 60 tahun ke atas dan warga emas yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera,” katanya.
Khairy berkata pegawai di pusat vaksinasi akan mencatat maklumat mereka yang datang dan juga keluarga akan dikemas kini untuk janji temu dos kedua.
Khairy juga memberitahu kedatangan tanpa janji temu untuk yang lain akan dibuka selepas 1 Ogos.
Menurut data daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin(JKJAV), 12.64 juta suntikan sudah diberikan sejak permulaan program vaksinasi pada Februari.
Sekurang-kurangnya 4 juta orang, atau 17.1% daripada populasi dewasa, sudah menerima vaksin lengkap dan 8.64 juta atau 36.9% orang dewasa sudah mendapat dos pertama.
JKJAV berkata sebanyak 2,680,880 juta warga emas, 219,4040 orang kurang upaya dan 5,136,727 individu yang mempunyai penyakit sudah divaksinasi. Ia menambah 95% warga emas yang mendaftar untuk vaksin sudah diberi janji temu. – 16 Julai, 2021.
.
Komen