APPLIKASI pesanan teks WhatsApp telah menyekat lebih dua juta pengguna di India hanya dalam sebulan kerana melanggar peraturannya, dedah syarikat AS itu dalam laporan pertamanya di bawah peraturan baharu media sosial yang kontroversi di India.
Sebahagian besar pengguna disekat kerana salah guna mesej spam. Firma dimiliki Facebook itu telah membataskan hantaran secara pukal dalam usaha menyekat berita palsu.
India menerapkan peraturan baharu pada Mei, memaksa syarikat melaporkan setiap bulan usaha mereka mengawasi platform tersebut.
“Kami kekalkan keupayaan canggih untuk mengenal pasti akaun-akaun ini yang menghantar pesanan yang tinggi atau tidak normal dan menyekat dua juta akaun di India sejak 15 Mei hingga 15 Jun yang menyalah guna peraturan seperti ini,” kata WhatsApp dalam laporan dikeluarkan pada Khamis.
Syarikat itu berkata tumpuan utamanya adalah mencegah penyebaran mesej berbahaya dan tidak diingini.
WhatsApp mempunyai lebih 400 juta pengguna di India, salah satu pasaran utamanya, tetapi sering kali berhadapan kritikan atas penyebaran maklumat palsu.
Puluhan orang disekat di India pada 2018 berikutan desas-desus tersebar di WhatsApp mengenai kumpulan yang menculik kanak-kanak.
Kejadian tersebut mendorong aplikasi pemesejan itu memperkenalkan had pesanan secara pukal di India.
WhatsApp dan beberapa firma media India berusaha untuk mencabar peraturan baharu media sosial di mahkamah.
Pengkritik berkata pemerintah berusaha menghancurkan perbezaan pendapat tetapi pemerintah pula berkata ia berusaha untuk menjadikan media sosial lebih selamat.
Di bawah peraturan baharu itu, platform media sosial harus berkongsi perincian mengenai “pencetus pertama” hantaran yang dianggap merosakkan kedaulatan, keselamatan negara atau ketenteraman India.
WhatsApp berkata peraturan tersebut melanggar undang-undang privasi India. – AFP, 16 Julai, 2021.
Komen