Jurugambar India pemenang Hadiah Pulitzer terbunuh di Afghanistan


Danish Siddiqui dan seorang pegawai kanan terbunuh dalam serangan balas Taliban terhadap pasukan keselamatan Afghanistan di Spin Boldak, kata pegawai itu kepada Reuters. – Gambar Facebook, 16 Julai, 2021.

JURUGAMBAR pemenang Hadiah Pulitzer agensi Reuters terbunuh pada Jumaat ketika membuat liputan pertempuran antara pasukan keselamatan Afghanistan dan Taliban berhampiran sempadan Pakistan, lapor media, memetik seorang komandan tentera.

Danish Siddiqui dan seorang pegawai kanan terbunuh dalam serangan balas Taliban terhadap pasukan keselamatan Afghanistan di Spin Boldak, kata pegawai itu kepada Reuters.

Agensi itu melaporkan Siddiqui, seorang warga India, telah mengikuti pasukan khas Afghanistan di Kandahar sejak minggu ini.

“Kami sedang cari lebih banyak maklumat, sedang bekerja dengan pihak berkuasa di rantau ini,” kata presiden Reuters Michael Friedenberg dan ketua pengarang Alessandra Galloni dalam satu kenyataan.

“Danish adalah wartawan yang luar biasa, suami dan ayah yang penyayang, dan rakan sekerja yang sangat disukai ramai. Kami berdoa yang baik-baik sahaja buat keluarganya pada masa yang sulit ini.”

Reuters berkata Siddiqui sebelum ini dilaporkan cedera di lengan akibat terkena tembakan peluru ketika membuat liputan pertempuran.

Beliau dirawat dan telah pulih ketika Taliban berundur dari pertempuran di Spin Boldak.

Agensi itu berkata ia tidak dapat mengesahkan butiran lanjut secara bebas.

Siddiqui merupakan salah seorang daripada pasukan yang berkongsikan Hadiah Pulitzer 2018 untuk Fotografi kerana mendokumentasikan krisis pelarian Rohingya.

Agensi itu berkata beliau telah bekerja untuk mereka sejak 2010, meliputi perang di Afghanistan dan Iraq, krisis pelarian Rohingya, protes Hong Kong dan gempa bumi di Nepal. – AFP, 16 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen