PERSEKUTUAN Fesyen, Tekstil dan Pakai Malaysia (FMFTA) meminta Putrajaya membenarkan industri ini beroperasi semasa Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara selepas mereka berdepan kerugian RM163 juta setiap hari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Presidennya Tan Thian Poh berkata, persatuan akan menghantar surat rayuan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memberi kebenaran kepada industri itu dibuka semula pada Fasa Dua PPN.
“Industri ini bimbang jika Fasa 3 akan memakan waktu lebih lama dari yang diramalkan. Kami tidak mampu menanggung kerugian jika PKP dilanjutkan lebih lama kerana industri sudah berdepan kerugian kira-kira RM163 juta sehari.
“Sejak PKP pertama pada 2020, 15% perniagaan fesyen, tekstil dan pakaian sudah berhenti beroperasi dan 30% lagi berada di ambang penutupan apabila kekurangan aliran tunai dan tidak mengetahui apa yang berlaku pada masa akan datang.
“Rangkaian bekalan industri fesyen, tekstil dan pakaian di Malaysia mempunyai kira-kira 500,000 pekerja di seluruh negara. Lanjutan PKP akan menyebabkan mereka hilang pekerjaan dan ini pasti akan memburukkan lagi kadar penggangguran di Malaysia,” kata Tan dalam sidang media yang diadakan melalui Zoom.
Tan berkata, FMFTA sebelum ini menghantar surat kepada Miti dan MKN tetapi tidak mendapat sebarang jawapan.
Menurut PPN yang diumumkan oleh Muhyiddin, di bawah Fasa 2, sektor pembuatan seperti automotive, seramik, kilang perabot untuk tujuan eksport, getah, keluli dan simen dapat beroperasi.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaacob berkata, seluruh negara dapat beralih ke Fasa Dua PPN pada awal Ogos.
Beliau berkata jangkaan itu berdasarkan prestasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang kini memberi petunjuk bahawa kadar individu yang lengkap dua dos vaksin telah melepasi nilai ambang 10 peratus yang ditetapkan untuk negara beralih dari Fasa Satu ke Fasa Dua PPN.
Tan berkata, melihat senarai sektor yang dibenarkan untuk dibuka pada Fasa 2, sektor ini kurang penting dari industri fesyen, tekstil dan pakaian.
“Tidak dapat dinafikan produk fesyen, tekstil dan pakaian memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan asas pakaian kita.
“Pakaian sangat penting untuk bayi dan anak-anak kita yang diganti baju setiap dua hingga tiga bulan.
“Produk tekstil juga penting dalam semua aspek kehidupan kita dan memainkan peranan penting dalam industri lain seperti penjagaan kesihatan, pembinaan, automotif, pertanian dan lain-lain,” katanya. – 16 Julai, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen