Vaksin Sinopharm, Janssen lulus untuk kegunaan darurat, kata KP kesihatan


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata vaksin Sinopharm dan Janssen mendapat kelulusan untuk kegunaan semasa bencana. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Julai, 2021.

VAKSIN Sinopharm dan Janssen mendapat kelulusan untuk kegunaan semasa bencana, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kelulusan itu dibuat dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) hari ini.

Jelasnya vaksin Covid-19 Sinopharm merupakan produk dibangunkan China National Biotec Group Company Limited (CNBG).

Ia didaftarkan sebagai Covilo Suspension for Injection Covid-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated.

Pendaftarannya di Malaysia dipegang Duopharma (M) Sdn Bhd dan dikilangkan Beijing Institute of Biological Products Co Ltd di China.

Vaksin Janssen pula merujuk kepada Janssen Covid-19 Vaccine Suspension for Injection.

Pendaftarannya di Malaysia dipegang Johnson & Johnson Sdn Bhd dan dikilang oleh Janssen Pharmaceutica NV, Belgium.

Vaksin Janssen dan Sinopharm kini antara 11 vaksin dalam portfolio Covax, yang merupakan kemudahan agihan vaksin bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk negara membangun.

Keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengumumkan sasaran untuk meningkatkan vaksinasi di Lembah Kelang yang kini mencatat kes Covid-19 paling tinggi dalam negara.

Melalui usaha itu, penerima warga emas di Lembah Kelang akan dibenarkan hadir pusat vaksinasi tanpa janji temu.

Selain itu, kerajaan juga membenarkan 2,229 doktor umum di Selangor dan 1,254 lagi di Kuala Lumpur menyertai program vaksin berkenaan.

Tumpuan usaha vaksin itu menghasilkan kejayaan di Labuan, yang berjaya mengurangkan penggunaan katil unit rawatan rapi dari 120% kepada 55%.

Kerajaan mensasarkan seluruh penduduk Lembah Kelang menerima vaksin menjelang 1 Ogos.

Lebih 45.5% daripada keseluruhan 880,782 kes Covid-19 yang sedang dirawat pada masa ini melibatkan pesakit di Kuala Lumpur dan Selangor. – 16 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen