Muhyiddin patut letak jawatan, kata Marzuki


Nabihah Hamid Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong

Perdana Mneteri Muhyiddin dipercayai hilang kepercayaan majoriti untuk kekal jadi perdana menteri selepas Umno mengumumkan menarik balik sokongan kepada beliau minggu lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Julai, 2021.

MUHYIDDIN Yassin perlu meletak jawatan sebagai perdana menteri sekiranya Parlimen menolak Ordinan Darurat dalam persidangan khas bermula hujung bulan ini, kata Timbalan Presiden Pejuang Marzuki Yahya.

Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim minggu ini memfailkan usul untuk Dewan Rakyat antara lain membahaskan Ordinan Darurat.

Marzuki berkata, bukan sahaja rakyat Malaysia yang menganggap negara ini gagal tetapi perkara sama dirasakan di peringkat antarabangsa.

“Hari ini bukan sahaja rakyat mencerminkan kerajaan ini gagal. Saya lihat di peringkat antarabangsa juga kritik negara kita, sebagai negara gagal.

“Bagi saya dia (Muhyiddin) kena letak jawatan,” kata Marzuki, yang juga bekas timbalan menteri luar negeri, dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight, minggu ini.

Wawancara diadakan selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) meluluskan Pejuang sebagai parti politik.

Dalam wawancara itu, Marzuki antara lain ditanya tentang peranan Pejuang dalam politik Malaysia dan sidang khas Parlimen, yang bermesyuarat lapan hari bermula 26 Julai.

Bekas setiausaha agung Bersatu berkata, matlamat Pejuang hari ini adalah untuk segera menyelesaikan kemelut dalam negara.

“Kita sudah buat satu usul penubuhan Majlis Pemulihan Negara, kita bawa solusi.

“Usul kita cari jalan keluar selesaikan masalah. Keutamaan kita bukan siapa perdana menteri,” katanya.

Marzuki mengingatkan bahawa pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad sudah mahu lagi jadi perdana menteri walaupun beliau yang mengemukakan idea penubuhan majlis seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran) pada 1969.

“Bukan soal politik, bukan soal siapa ada jumlah (ahli Parlimen) besar… nak berebut jadi perdana menteri berebutlah, Dr Mahathir pun kata tak mahu jadi perdana menteri,” kata Marzuki.

Pejuang juga katanya enggan menjadi sebahagian daripada proses menjatuhkan mana-mana pihak termasuk Muhyiddin di Parlimen.

Timbalan Presiden Pejuang Marzuki Yahya ketika bercakap dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight, minggu ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 Julai, 2021.

“Tolak itu tolak ini tak selesai masalah, kita perlukan jenenal untuk pimpin negara.

“Kita tak nak Pejuang menjadi sebahagian proses jatuhkan orang itu orang ini, itu tak selesaikan masalah.

“Setakat ini kita berkecuali dan itulah pendirian kita,” tambah Marzuki lagi.

Katanya, Pejuang sudah menyuarakan bantahan sejak awal lagi terhadap perintah darurat yang dilaksanakan oleh pentadbiran Muhyiddin kerana ia tidak perlu.

“New Zealand tak boleh buat sekatan (membendung penularan Covid-19) kerana itu dia kena bawa ke Parlimen baru boleh.

“Malaysia ada akta (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988). Tak perlu darurat.

“Cuma yang kita lihat darurat hanya untuk lari daripada Parlimen, takut berlaku undi tak percaya, ahli Parlimen lompat sana sini, (kerajaan) jadikan Covid-19 alasan untuk laksana darurat,” kata Marzuki.

Beliau menarik perhatian darurat sejak tujuh bulan lalu tidak membantu mengurangkan kes jangkitan sebaliknya penularan Covid-19 terus merebak.

Semalam, jangkitan Covid-19 mencecah rekod tertinggi harian baharu dengan 13,215 lagi kes dikesan di seluruh negara, umum Kementerian Kesihatan.

Empat negeri – Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang – juga merekodkan kes harian tertinggi masing-masing.

Muhyiddin pada masa ini dipercayai hilang kepercayaan majoriti untuk kekal jadi perdana menteri selepas Umno minggu lalu mengumumkan menarik balik sokongan kepada beliau.

Umno mempunyai 38 ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Laporan menyebut sekurang-kurangnya 25 ahli Parlimen Umno kekal menyokong Muhyiddin, termasuk mereka yang memegang jawatan menteri dan timbalan menteri, namun kehilangan 10 sokongan akan menjejaskan majoriti kerajaannya.

Blok kerajaan Muhyiddin kini pada dasarnya mempunyai 115 kerusi terdiri daripada Bersatu (31), PAS (18), dan Star (1) yang membentuk Perikatan Nasional, serta Barisan Nasional (42), GPS (18), PBS (1) dan 4 wakil rakyat bebas.

Blok pembangkang pula mempunyai 105 kerusi dengan dua kerusi kosong susulan kematian ahli Parlimen Batu Sapi dan Grik.– 16 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen