Selepas 12 tahun, keluarga Teoh Beng Hock masih mencari keadilan 


Angie Tan

Keluarga Teoh Beng Hock berkata mereka tidak akan mengalah untuk menuntut keadilan atas kematiannya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Julai, 2021. 

HARI ini genap 12 tahun kematian Teoh Beng Hock yang jatuh dari Tingkat 14 Plaza Masalam di Shah Alam, Selangor yang mengubah kehidupan keluarganya selamanya. 

Bagi keluarga itu, mencari kebenaran di sebalik kematiannya hanya membawa derita namun mereka tidak akan mengalah untuk menuntut keadilan. 

Adik perempuan Teoh, Lee Lan memberitahu The Malaysian Insight kini keluarganya tidak lagi sama seperti sebelum kematian Beng Hock pada 16 Julai, 2009. 

Ketika itu beliau merupakan wartawan berusia 30 tahun yang juga pembantu kepada exco Selangor Ean Yong Hian Wah.

Mayat Teoh ditemukan di Tingkat 5 bangunan Plaza Masalah di Shah Alam pada 16 Julai, 2019. 

“Kami masih marah dan sedih, terutamanya ketika keluarga berkumpul yang mana kami merasakan kehilangan Beng Hock, keluarga ini tidak sempurna. 

“Kehilangannya sangat dirasai terutamanya oleh isterinya Soh Cher Wei dan anak lelakinya Teoh Er Jia. Kami seringkali membayangkan Beng Hock masih ada bersama kami,” katanya. 

Lee Lan berkata keluarganya sangat kecewa dengan perkembangan siasatan kematiannya dan maklum balas beberapa menteri.

Teoh Lee Lan berkata keluarganya tidak akan berputus asa untuk menegakkan keadian dan mencari kebenaran di sebalik kematian abangnya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Julai, 2021.

“Saya masih ingat ketika melihat Beng Hock terbaring di bumbung bangunan dengan tangannya tergenggam. Kesedihan dan remuk hati yang dirasakan ketika itu kekal selam-lamanya. 

“Kami tidak akan lupa yang Beng Hock masih menunggu kami untuk mendapatkan keadilan untuk kematiannya. Isteri dan anaknya serta ibu bapa saya turut menunggu kebenaran.”

Beliau berkata sebelum kematian Beng Hock, beliau membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan mereka ke atas Ean Yong bagi kes rasuah namun beliau ditemui mati dan hingga kini tiada pihak yang ditahan kerana bertanggungjawab. 

“Kerajaan tidak berikan kami penjelasan. Pihak berkuasa menangguhkan siasatan dan cuba menutup kebenaran. 

“Mereka cuba buatkan rakyat lupa tentang kes itu. Jika kita tidak peduli, mungkin ada lebih banyak yang akan senasib dengan Beng Hock,” kata Lee Lan.

Lee Lan berkata keluarganya aka terus mencari kebenaran demi masa depan dan keselamatan anak Teoh. 

Beliau meluahkan kekecewaan kerana walaupun selepas pertukaran kerajaan, polis dan pihak berkuasa berkenaan masih tidak peduli dengan kes abangnya. 

“Pihak berkuasa tidak peduli dengan tuntutan keuarga dan rakyat dan menangguhkan siasatan kes. 

“Mereka juga tidak mempedulikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 5 Setember, 2014 yang mengarahkan polis untuk membuka kertas siasatan terhadap pihak bertanggungjawab atas kematian Beng Hock, termasuk pegawai dari SPRM.”

Rakyat akan lupa?

Lee Lan berkata sejak pandemik Covid-19, kesedaran mengenai kes abangnya mula menurun dan saban tahun sokongan terhadap keluarganya turut merosot. 

Beliau bagaimanapun percaya, mereka yang tahu kes ini akan ingat apa yang berlaku dan berharap keluarga Teoh akan menemui jawapan. 

“Selagi kita ingat apa yang berlaku, walau 20 atau 30 tahun sekalipun, kita akan tunggu kerajaan demokratik yang mempnyai nilai hak asasi manusia untuk menyiasat kematian ini dengan telus dan mengheret pelakunya ke muka pengadilan.”

Bagi membantu pencarian mereka, keluarga Teoh menubuhkan Teoh Beng Hock Trust for Democracy untuk mengatur aktiviti bagi memperingati kematiannya dan mempromosikan demokrasi, hak asasi manusia dan menggalakkan generasi muda menyertai gerakan sosial. 

Lee Lan turut menggesa 33 pegawai SPRM yang disoal siasat berhubung kes kematian Teoh untuk bercakap benar mengenai apa yang berlaku dan tidak hanya berdiam diri. 

“Beberapa ahli politik juga telah menunjukkan bahawa mereka bersedia membantu keluarga. Tuduhan pembunuhan dan penahanan secara salah akan disiasat sepenuhnya untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.”– 16 Julai, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen