PERUNDING kerajaan Afghanistan berkata kumpulan Taliban menawarkan gencatan senjata selam tiga bulan sebagai balasan untuk membebaskan 7,000 tahanan pemberontak ketika kumpulan bersenjata itu terus melancarkan serangan di seluruh negara itu.
“Ia satu permintaan yang besar,” kata Nader Nadery yang menambah, Taliban turut menuntut pemimpin kumpulan itu dikeluarkan daripada senarai hitam Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).
Pengumuman itu dibuat selepas pengawal Pakistan menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan ratusan orang yang cuba melintasi sempadan untuk ke Afghanistan, kata pihak berkuasa.
Sempadan berkenaan ditutup awal sehari oleh Pakistan selepas Taliban menawan sempadan sebelah Afghanistan di daerah Spo Boldak, dan terus melakukan serangan sejak pengunduran tentera asing dari negara itu.
“Kira-kira 400 orang cuba menceroboh pagar sempadan secara paksa. Mereka membaling batu yang menyebabkan kami terpaksa menggunakan gas oemedih mata,” kata pengawal di barat daya sempadan Chaman di Pakistan yang enggan dinamakan.
Katanya kira-kira 1,500 orang berhimpun di sempadan, menunggu untuk menyeberang sejak Rabu.
“Kami terpaksa menggunakan baton kerana mereka semakin keterlaluan,” kata seorang lagi pengawal sempadan yang juga enggan dinamakan.
Sementara itu pegawai kanan kerajaan di Chaman, Jumadad Khan berkata situasi kini terkawal.
Sumber Taliban Afghanistan memberitahu AFP, ratusan orang berhimpun di sebelah sempadan Afghanistan yang berharap untuk masuk ke Pakistan.
“Kami sedang berunding dengan pihak berkuasa Pakistan. Satu mesyuarat rasmi diadakan untuk membuka sempadan yang dijadualkan hari ini, ia akan dibuka dalam sehari atau dua hari lagi,” katanya. – AFP, 15 Julai, 2021.
Komen