Rakyat Myanmar beratur panjang dapatkan bekalan oksigen


Orang ramai beratur bersama tangki masing-masing untuk mendapatkan bekalan isian semula oksigen bagi bantuan pernafasan ahli keluarga yang dijangkiti Covid-19. – Gambar EPA, 15 Julai, 2021.

RAKYAT Myanmar membantah penguatkuasaan perintah berkurung dilaksanakan tentera kerana sukar memenuhi keperluan memperoleh bekalan oksigen, terutama dalam memastikan ahli keluarga dijangkiti masih harapan hidup di sebalik gelombang terbaru Covid-19 di negara yang dilanda rampasan kuasa itu.

Lonjakan kes adalah cabaran terbaru dilalui rakyat negara itu yang sebelum ini menderita akibat rampasan kuasa pada Februari, selain berdepan tindakan keras hingga meragut kira-kira 900 nyawa, di samping kejatuhan ekonomi.

Semalam, ratusan penduduk dilaporkan beratur di bandar Yangon sejak awal pagi dengan harapan dapat mengisi tabung oksigen untuk dibawa pulang ke rumah bagi menyelamatkan ahli keluarga yang dijangkiti virus.

Ada yang terpaksa membawa kerusi kerana menunggu lama, selain tidak dapat beratur disebabkan terlewat.

“Kakak saya menderita Covid-19 sejak tiga hari lalu, namun semalam dia mula tidak mampu lagi bernafas dengan baik,” kata Than Zaw Win.

Beliau antara ratusan orang yang beratur di bandar berpopulasi tujuh juta orang itu, bagaimanapun memberitahu kakaknya itu meninggal dunia selepas dihubungi anak saudara yang menggesanya supaya pulang segera ke rumah.

Semalam, pihak berkuasa merekodkan lebih 7,000 kes harian baharu, berbanding kurang 50 kes sehari pada awal Mei.

Berjuta-juta penduduk Yangon dan bandar kedua Mandalay, diperintahkan berkurung dalam rumah, namun angka korban terus meningkat hingga pasukan sukarelawan terpaksa datang mengeluarkan mayat mangsa dari kawasan perumahan mereka.

Seorang kelasi, Ye Kyaw Moe berkata dia terpaksa keluar jam 3 pagi, iaitu setengah jam sebelum perintah berkurung tamat untuk keluar berbaris bagi mendapatkan bekalan oksigen.

Namun, sebaik tiba di pusat pengisian semula oksigen di Yangon, sudah ada 14 orang lain di hadapannya.

Bagaimanapun, Majlis Pentadbiran Negeri seperti disebut junta berkata tiada apa yang perlu dibimbangkan.

Kenyataan itu tertera pada tajuk utama, New Light of Myanmar, akhbar yang menyokong kerajaan negeri dengan tajuk “Bekalan oksigen kita cukup”.

“Rakyat tidak perlu terlalu bimbang dan tidak patut menyebarkan khabar angin itu,” kata pemimpin junta, Min Aung Hlaing. – AFP, 15 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen