POLIS di Paris melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan ketika 19,000 orang berhimpun berdemonstrasi di seluruh Perancis sebagai bantahan terhadap sekatan terbaru koronavirus.
Sesetengah protes bermula pada waktu pagi di Paris ketika perarakan tahunan tentera sempena Hari Bastille diadakan yang turut disaksikan Presiden Emmanuel Macron di sepanjang jalan di Champs-Elysees.
Penunjuk perasaan membantah keputusan yang diumumkan pada Isnin iaitu pekerja kesihatan perlu mendapatkan vaksin dan membawa pas kesihatan vaksin ke tempat awam.
Individu yang tidak mengambil suntikan vaksin perlu menunjukkan keputusan negatif Covid-19 sebelum masuk ke restoran.
Sejak pengumuman itu, tempahan temu janji suntikan vaksin Covid-19 melonjak naik.
Di Paris, kira-kira 2,250 orang berhimpun, sementara demonstrasi turut diadakan di Toulouse, Bordeaux, Montpelier, Nantes dan beberapa tempat lain.
Kementerian Dalam Negeri berkata ada 53 protes diadakan di seluruh Perancis.
Kerajaan Perancis pada Selasa mempertahankan keputusannya untuk menguatkuasakan ujian saringan Covid-19 kepada individu yang tidak mengambil vaksin, dan mahu makan di restoran atau melakukan perjalanan jarak jauh, bagi mengelak negara itu berdepan lonjakan kes varian Delta.
“Bukannya diwajibkan vaksin, tetapi ini adalah galakan untuk berbuat demikian,” kata jurucakap kerajaan Gabriel Attal.
Sekitar 35.5 juta orang – hanya separuh populasi Perancis – menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin setakat ini.
Pada permulaan pandemik, Perancis antara negara membangun dunia yang paling skeptikal terhadap vaksin. – AFP, 15 Julai, 2021.
Komen