PRESIDEN Brazil Jair Bolsonaro mengalami masalah usus dan mungkin perlu menjalani pembedahan segera, kata kerajaan semalam, sehari selepas peimpin berhaluan kanan itu dimasukkan ke hospital kerana sedu tidak berhenti.
Bolsonaro, 66, secara terbuka merungut sejak minggu lalu kerana mengalami sedu selepas pembedahan implan gigi pada 3 Julai.
Beliau pada mulanya dibawa ke hospital tentera di Brasilia tetapi kini dipindahkan ke Sao Paulo untuk menjalani beberapa ujian lagi, kata kementerian komunikasi dalam satu kenyataan.
Ia tidak mendedahkan Bolsonaro dibawa ke hospital mana.
“Beliau dalam keadaan baik dan bersemangat,” kata kenyataan itu.
Bolsonaro dirawat di Brasilia oleh Antonio Macedo, doktor yang beberapa kali menjalankan pembedahan terhadap presiden itu sejak insiden ditikam di perut pada 2018 ketika menyertai kempen.
Jika perlu menjalani pembedahan lagi, ini kali ketujuh beliau dibedah sejak insiden ditikam.
Bercakap kepada stesen radio tempatan minggu lalu, Bolsonaro berkata:”Ini pernah berlaku kepada saya sebelum ini, mungkin kerana ubat yang saya ambil, saya sedu 24 jam sehari.”
Pada malam Selasa, Bolsonaro yang kelihatan penat mengadu kepada penyokong di luar kediaman rasminya di Brasilia tentang masalah itu.
“Suara saya hilang. Jika saya cakap banyak, sedu akan datang semula,” katanya.
Bolosonaro turut dijangkiti Covid-19 tahun lalu dengan gejala ringan yang tidak memerlukannya mendapatkan rawatan di hospital. – AFP, 15 Julai, 2021.
Komen