PUTRAJAYA setuju menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat semua isu yang berbangkit mengenai Lembaga Tabung Haji (LTH) sejak 2014, kata Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Siasatan itu akan menjurus kepada hasil audit yang dibuat oleh perunding PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger antara 2014 dan 2018, katanya.
Antara aspek yang akan disiasat ialah menentukan sama ada wujud tindakan menyembunyikan maklumat berkaitan isu pengurusan dan kewangan yang berbangkit dalam tempoh itu, tambahnya.
“Jabatan Perdana Menteri akan mengenalpasti senarai keahlian RCI yang dicadangkan terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang syariah, perundangan, perbankan Islam dan pelaburan.
“Perincian berhubung penubuhan dari segi terma dan rujukan serta keanggotaan RCI akan diumumkan dalam masa terdekat,” kata timbalan perdana menteri dalam satu kenyataan hari ini.
Siasatan suruhanjaya itu bagaimanapun tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Tabung Haji yang sedang dilaksanakan sekarang, jelas Ismail Sabri.
Timbalan Perdana Menteri menjelaskan penubuhan RCI itu wajar untuk memulihkan imej serta keyakinan umum terhadap kewibawaan Tabung Haji.
“Ini juga bagi memastikan satu siasatan dalaman yang telus dan amanah dilaksanakan demi memastikan LTH telah menjalankan mandat dengan profesional dalam menguruskan wang deposit umat Islam,” katanya.
Persetujuan membawa isu pengurusan dan kewangan Tabung Haji untuk disiasat oleh sebuah suruhanjaya bebas dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, hampir setahun selepas ia pertama kali dibentangkan dalam mesyuaratnya.
Pada Disember 2020, menteri agama Zulkifli Mohamad memberitahu Dewan Rakyat cadangan penubuhan RCI Tabung Haji dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri pada 18 Ogos sebelumnya.
Menurut Ismail Sabri, suruhanjaya itu diberi mandat tiga bulan untuk mengemukakan kepada kerajaan laporan siasatan dan syor mengenai tindakan susulan, jika ada.
Suruhanjaya itu juga dikehendaki mengesyorkan tindakan yang sesuai kepada pihak yang terlibat melanggar undang-undang.
“Langkah ini adalah bertujuan untuk penambahbaikan dan tadbir urus Tabung Haji,” kata Ismail Sabri.
Penubuhan RCI itu didesak oleh banyak pihak terutamanya Umno ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) mendedahkan salah pengurusan dan pelbagai dakwaan penyelewengan melibatkan kewangan dan aset Tabung Haji.
Pada Disember 2018, pentadbiran bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad melaksanakan penstrukturan semula aset, kewangan dan pengurusan Tabung Haji selepas terbongkar bahawa ia tidak dikendalikan dengan cekap oleh pengurusan lamanya.
Antara lain, semakan audit mendapati pengurusan syarikat sebelum ini tetap membayar hibah atau dividen – dan mengekalkannya pada kadar yang tinggi – ketika tanggungannya lebih tinggi daripada aset dan melanggar Akta Tabung Haji 1995.
Sementara itu, dalam reaksi segera Tabung Haji menyambut baik siasatan bebas terhadapnya dan akan memberi kerjasama mengikut undang-undang.
“Tabung Haji berpendapat bahawa hasil siasatan dan pandangan dari RCI kelak dapat membantu Tabung Haji menambah baik dari segi pengurusan dan aspek tadbir urus,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amrin Awaluddin.
Beliau juga memaklumkan syarikat mengutamakan tadbir urus, integriti dan reputasinya sebagai institusi kewangan Islam demi memastikan kepentingan orang ramai terjamin khususnya pendeposit. – 14 Julai, 2021.
Komen