11% penduduk Venezuela telah divaksin 


Seorang wanita menerima suntikan vaksin Covid-19 di Caracas, Venezuela.– Gambar EPA, 14 Julai, 2021.

SEBANYAK 11 peratus daripada 30 juta penduduk Venezuela telah disuntik vaksin Covid-19 dan Presiden Nicolas Maduro menyasarkan 70 peratus rakyatnya lengkap divaksin menjelang akhir tahun ini.

Menurut Kuasa Usaha Kedutaan Venezuela di Malaysia, Morella Barreto Lopez, negara ini bersedia untuk meningkatkan kadar vaksinasi dengan penambahan 12 juta vaksin Abdala keluaran Cuba.

“Venezuela telah memulakan program vaksinasi menggunakan Abdala selepas menerima bekalan pertama pada 25 Jun,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Vaksin Abdala memerlukan tiga dos suntikan dan membantu meningkatkan daya ketahanan badan dalam tempoh 42 hari selepas dos pertama. Dos kedua akan diberikan pada hari ke-14 manakala dos ketiga hari ke-28.

Ujian klinikal vaksin keluaran Cuba itu menunjukkan keberkesanan 92.28 peratus dan tidak memberi kesan buruk kepada penerima vaksin itu. 

Setakat ini, lebih 80 peratus individu yang menerima vaksin itu tidak memerlukan ubat atau menerima terapi pasca vaksinasi.

Barreto berkata kerajaan Venezuela juga menandatangani kontrak dengan pembuat ubat terkemuka Rusia, Geropharm pada 4 Jun untuk 10 juta dos vaksin EpiVacCorona.

Beliau berkata Venezuela juga adalah negara pertama di Amerika Selatan yang bakal menerima satu lagi vaksin buatan Rusia, Sputnik V selain terlibat dalam fasa tiga ujian klinikal vaksin ini.

Menurutnya, Venezuela juga memanfaatkan sistem Covax yang diselaras Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta telah membayar US$120 juta dan masih menunggu bekalan vaksin dihantar. 

Venezuela mencatatkan 1,200 kes baharu Covid-19 pada Ahad menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 284,942, dengan 267,628 pesakit pulih (94 peratus) manakala korban pula seramai 3,290. – Bernama, 14 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen