BEKAS presiden Amerika Syarikat George W. Bush pada Rabu mengkritik penarikan tentera NATO dari Afghanistan, berkata orang awam dibiarkan untuk disembelih Taliban.
“Kaum wanita dan gadis Afghanistan akan menderita. (Pengunduran tentera) Ini silap… Rakyat Afghanistan ditinggalkan untuk disembelih oleh orang-orang yang sangat kejam, dan ia meluluhkan hati saya,” kata Bush kepada penyiar Jerman, Deutsche Welle.
Bekas presiden dari parti Republikan itulah yang menghantar pasukan tentera ke Afghanistan pada 2001 berkata, Canselor Jerman Angela Merkel “merasakan hal yang sama”.
Bush berkata Merkel, yang akan mengundurkan diri dari politik akhir tahun ini setelah 16 tahun berkuasa, telah mengangkat “kelas dan martabat ke kedudukan yang sangat penting dan telah membuat keputusan yang sangat sukar”.
Pasukan AS dan NATO mula menarik diri dari Afghanistan pada awal Mei dan akan menarik diri sepenuhnya pada 11 September, kira-kira 20 tahun setelah mereka tiba di negara itu.
Sebahagian besar dari 2,500 tentera AS dan 7,500 tentera NATO yang berada di Afghanistan ketika Presiden AS Joe Biden memperincikan penarikan akhir pada April kini telah keluar, meninggalkan tentera Afghanistan untuk memerangi Taliban.
Negara tersebut menghadapi krisis ketika para pemberontak merampas wilayah di kawasan pedalaman, meregangkan kekuatan pemerintah dan memcahbelahkan keluarga, diterukkan lagi oleh Covid-19.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata pada Ahad konflik yang semakin meningkat menyebabkan “lebih banyak penderitaan” di seluruh negara yang dilanda keganasan ketika ia memohon bantuan kewangan.
Biden telah menegaskan, bagaimanapun, kini tiba masanya AS berundur dan biarkan rakyat Afghanistan merancang sendiri masa depan mereka. – AFP, 14 Julai, 2021.
Komen