Kerajaan yang gagal, bukan Malaysia, kata Rafidah


Raevathi Supramaniam

Bekas menteri perdagangan dan industri Rafidah Aziz berkata keadaan negara sekarang ini disebabkan kerajaan Perikatan Nasional gagal kawal pandemik sehingga menyusahkan rakyat dan menjadikan ekonomi teruk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2021.

MALAYSIA bukan negara gagal tetapi kerajaan yang gagal menjalankan tanggungjawab membebaskan negara dari pandemik Covid-19, kata Rafidah Aziz.

Bekas menteri perdagangan dan industri itu berkata demikian merujuk laporan Bloomberg mengatakan penderitaan rakyat Malaysia dan masalah politik yang huru-hara ketika sekatan pergerakan adalah tanda negara ini menuju kegagalan.

“Akhir-akhir ini, laporan media asing mengatakan ‘Malaysia Negara Gagal’.

“Saya memang akan pertikai. Malaysia bukan negara gagal. Negara ini masih negara yang diberkati dengan sumber yang dapat menjadikannya sebagai sebuah negara maju,” kata Rafidah dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, keadaan negara sekarang ini adalah salah kerajaan Perikatan Nasional yang gagal mengawal pandemik Covid-19 sehingga menyusahkan rakyat dan menjatuhkan ekonomi.

“Penyumbang utama keadaan sedih yang sedang kita lihat sekarang ini, adalah ketidakcekapan mereka yang telah melantik diri sendiri sebagai kerajaan.

“Ini adalah kerajaan yang tidak dibentuk oleh amanah rakyat iaitu melalui proses pilihan raya tetapi sebaliknya, seperti yang diketahui seluruh dunia, kerajaan ini dibentuk melalui ‘agenda dan kesenangan tersendiri’ atau yang sering disebut sebagai kerajaan pintu belakang,” katanya.

Tambah Rafidah, darurat sejak 11 Januari dan dijadual berakhir 1 Ogos ini hanyalah usaha untuk mengelak dari mengadakan sidang Parlimen sedangkan usaha sekatan pergerakan pula hanya menyusahkan lagi keadaan.

“Kerajaan yang telus dan bertanggungjawab telah diganti dengan pendekatan yang serupa diktator untuk mengawal tadbir urus.

“Rakyat ditekan dengan dasar mengarut yang membawa masalah berbanding penyelesaian.”

Rafidah juga menuduh kerajaan “tidak faham dan memperburukkan lagi keadaan” dalam memerangi pandemik.

“Jelas, dalam segala tafsiran dan ukuran, kerajaan tidak kompeten, kerajaan gagal.”

Walaupun melaksanakan banyak jenis perintah kawalan pergerakan, sebahagian besar Selangor dan Kuala Lumpur yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, kes Covid-19 masih terus meningkat.

Semalam, Malaysia melaporkan 11,079 kes harian Covid-19, rekod terbaharu sejak bermulanya pandemik pada tahun lalu.

Sistem penjagaan kesihatan yang sudah parah kini bertambah teruk dengan beberapa parkir di hospital dijadikan hospital lapangan bagi menampung pesakit baharu.

Setakat ini, 972 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dengan 456 orang memerlukan alat bantuan pernafasan. – 14 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen