PENGELUAR senjata api di Amerika Syarikat (AS) mencetuskan kontroversi apabila menjual kit pistol Glock yang sebenar menyerupai pistol mainan Lego, ketika ratusan kanak-kanak di negara itu menjadi mangsa insiden tembakan.
Pengilang mainan blok Denmark itu mengemukakan surat kepada syarikat yang berpangkalan di Utah, Culper Precision untuk menghentikan pengeluaran senjata api berkenaan.
“Organisasi kami menghubungi Lego, yang kemudian menghantar surat kepada pembuat senjata,” kata Shannon Watts, pengasas kumpulan Moms Demand Action, yang mendesak kawalan senjata lebih ketat.
Reka bentuk kotak berwarna-warni menjadikan senjata api separa automatik itu mirip mainan Lego.
Pembuat senjata itu memasarkannya dengan dikenali sebagai Block19 yang dijual pada harga antara AS$549 (RM2,267) dan $AS765 (RM3,159).
“Ini antara impian ketika kecil yang menjadi kenyataan,” kata Culper Precision melalui iklan pistol berkenaan di Instagram yang disiarkan pada 24 Jun lalu.
“Senjata ini menyeronokkan. Menembak memang menyeronokkan. 30 pusingan peluru automatik penuh memang menyeronokkan,” kata syarikat itu di laman webnya.
Watts menekankan insiden tembakan rambang meningkat 30% pada tahun lalu, katanya kepada Washington Post.
Pada tahun ini, lebih 165 insiden tembakan rambang berlaku membabitkan kanak-kanak di AS, manakala pada 2020 seramai 142 maut akibat insiden senjata api dilakukan golongan sama atau di bawah umur, menurut organisasi Everytown.
Ketua Pegawai Eksekutif Culper Precision, Brandon Scott mengesahkan kepada Washington Post beliau menerima notis rasmi Lego dan syarikat itu memutuskan untuk mematuhinya selepas menjual kurang daripada 20 unit. – AFP, 14 Julai, 2021.
Komen