EKONOMI Singapura mencatat pertumbuhan 14.3% tahun ke tahun pada suku kedua 2021 iaitu lanjutan pertumbuhan 1.3% pada suku sebelumnya, kata Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu.
Dalam kenyataan mengenai unjuran awal yang dikeluarkan hari ini, MTI berkata pertumbuhan lebih kukuh itu disumbangkan terutamanya oleh kesan asas lebih rendah pada suku kedua 2020 apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) susut 13.3% berikutan pelaksanaan langkah pemutus rantaian jangkitan Covid-19 pada 7 April-1 Jun, 2020.
Sebahagian besar daripada unjuran awal KDNK bagi suku kedua 2021 itu mewakili data dalam tempoh dua bulan pertama suku berkenaan iaitu April dan Mei 2021.
Menurut kementerian itu, KDNK bagi suku kedua 2021 kekal 0.9% di bawah paras sebelum pandemik pada suku kedua 2019.
Bagi asas pelarasan suku ke suku, ekonomi Singapura menguncup 2.0% pada suku kedua 2021 selepas mencatat pertumbuhan 3.1% dalam suku sebelumnya.
Dari segi prestasi sektor, MTI berkata sektor pembuatan berkembang 18.5% bagi tahun ke tahun dalam suku di bawah kajian tersebut yang meneruskan pertumbuhan 11.3% dicatatkan sebelum ini.
“Pertumbuhan itu disokong oleh pengembangan output dalam semua kluster kecuali pembuatan bioperubatan,” katanya.
Sektor pembinaan tumbuh 98.8% tahun ke tahun pada suku kedua 2021 iaitu peningkatan berbanding penguncupan 23.1% dalam suku sebelum ini.
“Peningkatan ketara itu disebabkan oleh kesan asas yang rendah apabila pelaksanaan sekatan pemutus rantaian tersebut menyebabkan penutupan sementara semua aktiviti pembinaan dalam suku kedua tahun lepas,” katanya.
Menurut MTI, nilai tambah bagi sektor itu kekal 31.6% di bawah paras sebelum pandemik suku kedua 2019.
Bagi sektor perkhidmatan, dagangan borong dan runcit serta pengangkutan dan penyimpanan berkembang 9.3% pada suku kedua 2021, sekali gus mengatasi penguncupan 1.7% dalam suku sebelum ini.
Sektor maklumat dan komunikasi, kewangan dan insurans serta perkhidmatan profesional meningkat 7.8% pada suku kedua 2021 dan meneruskan pertumbuhan 3.2% pada suku sebelumnya.
Kumpulan sektor perkhidmatan lain seperti penginapan dan makanan, hartanah, perkhidmatan pentadbiran dan sokongan serta lainnya, meningkat sebanyak 13.4% dalam suku di bawah kajian berbanding penguncupan 3.8% dalam suku sebelum ini.
Kementerian itu akan mengumumkan unjuran awal KDNK bagi suku kedua 2021 termasuk prestasi sektor, sumber pertumbuhan, inflasi, penggajian dan produktiviti menerusi laporan Tinjauan Ekonomi Singapura pada Ogos 2021. – Bernama, 14 Julai, 2021.
Komen