Majoriti kes Covid-19 jangkitan sporadik, kata persatuan pengilang


Majoriti kes positif Covid-19 daripada jangkitan sporadik, yang tidak dapat dikesan puncanya, dan bukan daripada kluster kilang, kata FMM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2021.

MAJORITI kes positif Covid-19 datang daripada jangkitan sporadik, yang tidak dapat dikesan puncanya, dan bukan daripada kluster kilang, kata Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM).

Badan itu menafikan tanggapan umum bahawa kilang yang terus dibenarkan beroperasi di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara dan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) punca utama jangkitan Covid-19 yang meningkat sekarang.

Presiden FMM Soh Thian Lai berkata data Kementerian Kesihatan menunjukkan 69% daripada kes Covid-19 yang direkod tahun ini dikesan dalam komuniti yang tiada kaitan dengan mana-mana kluster.

“Data yang dikeluarkan kementerian pada 21 Jun menunjukkan sehingga 19 Jun, lebih 300,000 kes daripada keseluruhan 578,105 kes dikesan dalam komuniti dan tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana kluster yang ada, sementara baki 31% datang daripada kluster,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, FMM kesal dengan tuduhan berulang-ulang di media kononnya kilang punca utama jangkitan Covid.

“FMM mahu menjernihkan salah tanggap ini,” tambah Soh.

Soh juga memetik taklimat Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah kepada sektor perkilangan pada 4 Julai lalu yang berkata hanya 6% kes Covid-19 melibatkan kluster kilang daripada keseluruhan kes jangkitan.

Soh berkata berdasarkan analisis FMM sendiri antara 1 hingga 12 Julai, kes kluster kilang lebih rendah daripada kluster tempat kerja.

“Daripada analisis kami terhadap data rasmi yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan di laman web mereka, Telegram dan platform media sosial antara 1 hingga 12 Julai, kes baharu harian daripada kluster dilaporkan antara 0.3% hingga 8.3%,” katanya.

Oleh itu katanya, tidak adil untuk salahkan sektor perkilangan kerana jumlah kes Covid-19 yang tinggi di negara ini.

Beliau bagaimanapun mengakui risiko jangkitan di kilang tidak boleh diketepikan terutama dengan kadar tinggi jangkitan sporadik dan kewujudan virus dalam masyarakat.

Soh menggesa sektor perkilangan terus dibenarkan beroperasi kerana perniagaan tidak akan dapat bertahan sekiranya operasi kilang ditutup.

Beliau menjelaskan kesan ekonomi akibat kehilangan pekerjaan yang melibatkan jaringan bekalan dan permintaan yang luas dalam pembuatan.

“Kalau semua kilang dipaksa tutup, kesannya akan sangat parah kepada ekonomi,” katanya. – 14 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen