BANK makanan yang dikendalikan ahli Parlimen Muar dan Segambut terpaksa ditutup selepas pihak berkuasa memberi amaran berhubung kesesakan orang ramai yang menunggu untuk menerima bantuan.
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman menulis di Twitter pejabat kawasan Parlimennya, yang menjadi lokasi bank makanan, diarah ditutup mulai hari ini oleh polis.
Saya diarahkan tutup pejabat Parlimen Muar mulai esok. Polis kata terlalu ramai orang beratur di luar pejabat.
Saya tak boleh halang orang susah & lapar datang minta bantuan. Rakyat Muar tanggungjawab saya.
Kalau nak kompaun, kompaun saya!! Jangan tambah beban rakyat Muar!! pic.twitter.com/SMXYrP97cE— Syed Saddiq (@SyedSaddiq) July 13, 2021
Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata bank makanannya tidak diarah ditutup oleh polis, tetapi ditutup selepas perbincangan dengan mereka.
Beliau menulis di Twitter hanya dalam empat jam, lebih 800 orang datang untuk meminta bantuan di bank makanan yang beroperasi di luar dewan orang ramai Taman Desa Segambut.
“Barisan begitu panjang dan ramai yang menunggu sebelum kami buka.
“Kami tidak memiliki tempat menunggu orang seramai itu,” tulisnya sambil menambah orang ramai yang beratur menganggu lalu lintas di kawasan perumahan sekitarnya.
Dalam catatan lebih panjang di Facebook, Hannah meminta maaf kerana terpaksa menutup bank makanan dan beliau akan mencari cara lain untuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang terjejas. – 14 Julai, 2021.
Komen