160 kubur tidak bertanda ditemui di sekolah orang asli di Kanada


Orang ramai meletakkan bunga, lilin, dan kasut ketika himpunan bantahan terhadap genosid budaya dilakukan kerajaan Kanada kepada masyarakat orang asli di negara itu. Ia susulan penemuan lebih 1,000 kubur tidak bertanda berhampiran bekas sekolah berasrama kanak-kanak orang asli. – Gambar AFP, 14 Julai, 2021.

SUKU orang asli Penelakut di barat Kanada menemui lebih 160 kubur tidak bertanda berhampiran tapak bekas sekolah berasrama penuh orang asli.

Ini adalah penemuan seumpama itu yang keempat di Kanada dalam tempoh beberapa minggu terakhir.

Pada bulan lalu, penemuan lebih 1,000 kubur mengejutkan dan mengingatkan mereka tentang sejarah silam yang menyakitkan untuk Kanada menerusi dasar proses asimilasi paksa terhadap masyarakat orang asli di negara itu.

“Kita dalam satu lagi keadaan di mana kita perlu berdepan dengan trauma kerana tindakan genosid ini,” kata ketua suku Penelakut Joan Brown dalam satu kenyataan mengesahkan penemuan 160 kubur tidak bertanda di kawasan rizab British Columbia.

“Ini baru permulaannya,” kata bekas naib presiden Persatuan Ketua Orang Asli British Columbia. Chamberlin menganggarkan berpuluh-puluh lagi kubur tidak bertanda yang masih belum ditemui.

“Saya turut bersedih bersama suku Penelakut dan semua masyarakat orang asli di seluruh negara,” kata Perdana Menteri Justin Trudeau.

“Kami tidak dapat membawa pulang mereka yang sudah hilang, tetapi apa yang kita boleh buat dan akan buat ialah terus menerus memberitahu perkara sebenar. Sama seperti kerjasama kita dengan masyarakat orang asli untuk menentang diskriminasi dan sistem rasis dengan tindakan yang kukuh,” kata Trudeau.

Sekolah berasrama di pulau Penelakut di barat Vancouver itu menerima pelajar orang asli dari hujung abad ke-19 hingga 1975.

Penemuan itu tidak lama selepas tiga lagi tapak perkuburan ditemui di seluruh Kanada. Pada Jun, rangka manusia ditemui dipercayai 215 kanak-kanak orang asli, di Kamloops di British Columbia. Ia diikuti dengan penemuan 715 kubur tidak bertanda di Marieval dan 182 di Cranbrook, iaitu di tenggara British Columbia.

Setiap penemuan itu mengimbau kembali trauma dialami kira-kira 150,000 kanak-kanak orang asli, yang terputus hubungan dengan keluarga apabila mereka menjadi pelajar. Hingga 1990, kanak-kanak orang asli tertakluk kepada kemasukan wajib ke 139 sekolah berasrama di seluruh negara.

Kebanyakan daripadanya mengalami layanan buruk atau penderaan seksual, dengan lebih 4,000 maut di kawasan sekolah, menurut suruhanjaya siasatan yang membuat kesimpulan kerajaan Kanada terbabit dalam “genosid budaya”.

Pada 2008, perdana menteri Stephen Harper membuat permohonan maaf bagi pihak rakyat Kanada kepada orang asli yang dimasukkan ke sekolah berasrama berkenaan. – AFP, 14 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen