BANGLADESH akan menarik sekatan pergerakan atau perintah berkurung sempena sambutan hari keagamaan kedua terbesar di negara itu, walaupun kadar jangkitan baharu Covid-19 meningkat mendadak, kata kerajaan hari ini.
Kabinet memutuskan semua sekatan akan dilonggarkan di negara majoriti Islam itu yang populasi penduduk seramai 169 juta, bermula Khamis hingga sambutan Aidiladha pada 20 hingga 22 Julai ini.
Penarikan balik sekatan itu akan menormalkan aktiviti ekonomi menjelang perayaan itu.
Setiap kali sambutan Aidiladha, puluhan juta penduduk biasanya akan pulang ke kampung untuk beraya bersama keluarga.
Terdapat juga kebimbangan berlaku kesesakan di pasar untuk membeli haiwan sembelihan dan penganjuran perhimpunan besar semasa festival itu bakal menjadi punca penularan utama pandemik.
Bangladesh mula menguatkuasakan sekatan pergerakan paling ketat bermula bulan ini susulan trend jangkitan baharu dan kematian yang menunjukkan peningkatan.
Sepanjang tempoh sekatan pergerakan, orang ramai hanya dibenarkan keluar rumah untuk tujuan kecemasan dan membeli barang keperluan.
Pengangkutan awam, kedai dan pejabat ditutup. Bagaimanapun, trend jangkitan terus menunjukkan peningkatan dengan hampir 14,000 positif semalam, mencatatkan rekod harian baharu menjadikan jumlah kumulatif kes jangkitan di negara itu melepasi sejuta orang.
Jumlah kematian meningkat melebihi 16,000 orang. Namun, pakar beranggapan angka sebenar yang tidak dilaporkan mungkin jauh lebih tinggi.
Mohammad Shahidullah, ketua jawatankuasa kesihatan yang menasihati kerajaan untuk menguruskan pandemik berkata kumpulan dianggotai pakar menentang langkah melonggarkan sekatan pergerakan.
“Jawatankuasa berpandangan sekatan pergerakan ketat ini sepatutnya diteruskan sehingga trend jangkitan mula menunjukkan penurunan,” kata Shahidullah.
“Walaupun sekatan pergerakan berlangsung, terdapat trend peningkatan jangkitan dan kematian. Kadar jangkitan masih tinggi.
“Ia mungkin mencetuskan malapetaka. Situasi Covid-19 membimbangkan,” kata Penasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia wilayah Asia Muzaherul Huq. – AFP, 14 Julai, 2021.
Komen