4 rakyat Iran didakwa rancang culik wartawan di AS


Jabatan Kehakiman AS mendakwa 4 rakyat Iran dengan pertuduhan cuba menculik seorang wartawan. – Gambar EPA, 14 Julai, 2021.

EMPAT rakyat Iran didakwa pada Selasa atas tuduhan merancang untuk menculik seorang wartawan di New York, kata Jabatan Kehakiman.

Wartawan dan aktivis yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) Masih Alinejad, yang berketurunan Iran dan merupakan pengkritik lantang kerajaan Tehran, menulis di Twitter yang beliau adalah sasaran komplot yang dimaksudkan.

Alinejad juga mengasaskan gerakan My Stealth Freedom, yang menggalakkan wanita membuka tudung.

Empat lelaki yang disebut dalam dakwaan itu adalah pegawai perisik Iran dan tiga aset yang bekerja di bawahnya, menurut satu kenyataan dari Jabatan Kehakiman. Ia mengatakan mereka semua tinggal di Iran.

Suspek kelima yang tinggal di California dituduh membiayai operasi tersebut.

Menurut Jabatan Kehakiman, petugas perisikan pertama kali cuba memperdayakan sasaran penculikan, yang disebut Mangsa-1, ke negara ketiga untuk ditangkap dan dibawa ke Iran untuk dipenjarakan.

Mereka kemudian melakukan risikan terhadap mangsa dan anggota keluarganya yang lain di Brooklyn, New York “berkali-kali pada 2020 dan 2021,” kata kenyataan Jabatan Kehakiman.

Ia mendakwa seorang daripada suspek mengkaji bagaimana membawa Mangsa-1 dari AS ke Iran.

Walaupun Jabatan tidak menamakan Mangsa-1, Alinejad, yang terkenal dengan kritikan lantang terhadap kerajaan Iran dan polisinya, mengakui dirinya sebagai sasaran plot yang didakwa di Twitter.

Beliau turut menyiar semula hantaran yang menamakannya sebagai mangsa dimaksudkan dan menjawab “Terima kasih” kepada tweet yang merujuk kepada dakwaan Jabatan Kehakiman.

“Setiap orang di AS mesti bebas dari gangguan, ancaman dan bahaya fizikal oleh kuasa asing,” kata Pemangku Penolong Peguam Negara Mark Lesko dalam kenyataan Jabatan Kehakiman. – AFP, 14 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen