Suu Kyi berdepan 4 lagi tuduhan rasuah


Aung San Suu Kyi akan menghadapi empat tuduhan rasuah lagi, selain sudah didakwa secara haram menerima wang tunai AS$600,000 dan kira-kira 11kg emas. – Gambar EPA, 14 Julai, 2021.

PIHAK berkuasa tentera Myanmar mengenakan lebih banyak pertuduhan rasuah ke atas Aung San Suu Kyi, kata peguamnya pada Selasa, yang mungkin membawa kepada hukuman penjara selama lebih 10 tahun.

Pemberontakan besar-besaran di Myanmar terhadap tentera pada Februari, membawa kepada tindakan keras yang mengorbankan lebih 890 orang awam, menurut kumpulan pemantau tempatan.

Suu Kyi, 76, yang berada dalam tahanan rumah, sudah dibicarakan kerana kesalahan menghasut, mengimport walkie talkie secara haram dan melarang sekatan koronavirus semasa pilihan raya tahun lalu yang menyaksikan partinya menang.

Beliau akan menghadapi empat tuduhan rasuah lagi, kata peguamnya Khin Maung Zaw kepada wartawan pada Selasa, sambil menambah beliau sudah berdepan dakwaan secara haram menerima wang tunai AS$600,000 dan kira-kira 11kg emas.

Pasukan peguamnya belum melihat “laporan maklumat pertama dan dokumen lain”, katanya, sambil menambah pertuduhan tersebut akan didengar oleh mahkamah di Mandalay mulai 22 Julai.

Pendengaran kes pada Selasa terhadap Suu Kyi yang didakwa melanggar sekatan Covid ditangguhkan, kerana tiada saksi pendakwaan muncul, kata Khin Maung Zaw.

Pada Isnin seorang saksi pihak pendakwaan gagal memberi keterangan selepas dijangkiti dengan koronavirus.

Jangkitan semakin meningkat di Myanmar, dengan Majlis Pentadbiran Negara - sebagaimana yang disebut oleh junta tentera - melaporkan lebih 5,000 kes baharu pada Isnin, meningkat daripada kurang 50 sehari pada awal Mei. – AFP, 14 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen