SEORANG lagi pelajar cedera dipercayai dipukul oleh warden asrama di sebuah sekolah tahfiz di Shah Alam, lapor Harian Metro hari ini.
Pelajar tingkatan satu itu mengalami kecederaan di tulang rusuk dan lengan.
Menurut laporan itu, bapa pelajar terbabit berkata kejadian berlaku pada 10 Mei selepas anak lelakinya itu ditanya beberapa soalan peribadi, tetapi mangsa menafikan semua soalan itu.
Susulan itu, warden asrama itu dikatakan memukul mangsa dengan rotan dan menumbuknya, lapor Harian Metro.
Bapa mangsa membuat laporan di balai polis Seksyen 9 Shah Alam selepas kejadian pada 10 Mei.
Ketua Polis Shah Alam Shafien Mamat mengesahkan kepada Harian Metro mereka menerima laporan berkenaan.
Shafie dipetik sebagai berkata kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Pada 26 April, seorang pelajar tahfiz Mohamed Thaqif Amin Mohd Gadaffi, 11, meninggal dunia selepas dipercayai dipukul di sekolahnya di Kota tinggi. Mangsa dibawa pulang pada 31 Mac dan kedua-dua kakinya dipotong akibat dipukul dan meninggal dunia, dua minggu selepas itu. – 17 Mei, 2017.
Komen