WILAYAH pelancongan Sepanyol, Catalonia dan Valencia semalam mengumumkan langkah sekatan baharu untuk menyekat penularan koronavirus.
Pemimpin di Catalonia berkata semua aktiviti awam perlu tamat 12.30 tengah malam, dan hanya 10 orangd ibenarkan berkumpul di tempat awam atau persendirian.
“Data yang ada semakin membimbangkang, dan terus terang cakap ia sangat teruk,” kata setiausaha kesihatan awam Catalonia Josep Maria Argimon kepada media di Barcelona.
Seluruh Sepanyol pada masa ini berdepan dengan peningkatan jangkitan virus itu yang sangat cepat dan ketara sejak beberapa minggu ini, dengan 368 kes dilaporkan bagi setiap 100,000 penduduk, kata pakar virus Fernando Simon.
Gelombang terbaru wabak itu menyerang terutamanya individu bawah 30 tahun yang belum divaksin, katanya.
Di Valencia, perintah berkurung dari jam 1 pagi hingga 6 pagi dikuatkuasakan semula di 32 bandar, termasuk ibu kota negeri Valencia iaitu bandar ketiga terbesar di Sepanyol selepas Madrid dan Barcelona.
Semua mesyuarat dihadkan kepada hanya enam orang.
Dalam berdepan dengan peningkatan kes Covid-19, negara jiran Perancis minggu lalu menasihati rakyatnya untuk tidak ke Sepanyol, melabelkan ia sebagai negara “zon merah”.
Jumlah kemasukan pesakit di hospital di Sepanyol mula meningkat sementera kadar kematian tidak ada peningkatan langsung, berikutan kebanyakan individu berisiko tinggi sudah diimunisasi, kata Simon.
Menurut kementerian kesihatan, 59% daripada 47 juta penduduk Sepanyol sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, sementara 45% yang lain sudah divaksin sepenuhnya. – AFP, 13 Julai, 2021.
Komen