52 maut, 22 cedera wad Covid-19 di Iraq terbakar


Pada April, Hospital Ibn Al-Khatib di Baghdad terbakar menyebabkan 27 maut. Semalam. Kebakaran berlaku di wad Covid-19 di hospital Al-Hussein di bandar Nasiriyah mengorbankan 52 pesakit. – Gambar fail EPA, 13 Julai, 2021.

SEKURANG-KURANGNYA 52 terbunuh dan 22 yang lain cedera dalam insiden kebakaran besar di wad pengasingan koronavirus di sebuah hospital di Iraq semalam, kata pihak berkuasa.

Kebakaran berlaku di hospital Al-Hussein di bandar Nasiriyah di selatan Iraq, dan api berjaya dikawal oleh pasukan pertahanan awam.

Sumber perubatan berkata punca utama kebakaran ialah letupan tangki oksigen.

Jurucakap pihak berkuasa kesihatan tempatan Haydar al-Zamili awal pagi ini berkata 52 mayat ditemui dan 22 lagi cedera dalam insiden itu.

“Mangsa maut kerana terbakar dan operasi mencari masih dijalankan,” katanya, menambah ada kemungkinan masih ada mangsa terperangkap di dalam bangunan.

Wad itu menempatkan 70 katil.

Ini insiden kebakaran kedua membabitkan hospital di Iraq dalam tempoh tiga bulan.

Di luar hospital, berpuluh-puluh penunjuk perasaan mengadakan tunjuk perasaan.

“Parti politik bakar kami,” kata mereka.

Kebakaran itu mencetuskan kemarahan di media sosial dengan desakan supaya pegawai terbabit meletak jawatan.

Pihak berkuasa menguatkuasakan darurat di Dhi Qar iaitu ibu negeri Nasiriyah dan mengarahkan doktor yang sedang bercuti kembali bertugas membantu merawat mangsa cedera.

Perdana Menteri Iraq Mustafa al-Kadhemi mengadakan mesyurat tergempar bersama menteri dan ketua keselamatan untuk mencari punca kebakaran.

Ketua kesihatan Dhi Qar dan pengarah hospital berkenaan ditahan dan disoal siasat polis, kata pejabat perdana menteri. – AFP, 13 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen