PERDANA Menteri Belanda Mark Rutte semalam mengakui kerajaannya melakukan kesilapan apabila melonggarkan sekatan penularan Covid-19, dan turut memohon maaf apabila kes jangkitan baharu harian melonjak.
Rutted an Menteri Kesihatan Hugo de Jonge pada Jumaat menguatkuasakan semula beberapa sekatan termasuk menutup kelab malam susulan varian Delta semakin mengganas, terutama dalam kalangan orang muda.
“Satu penilaian yang silap sudah dibuat. Apa yang kami fikir boleh dibuat, rupa-rupanya ia tidak sepatutnya dibenarkan,” kata Rutte di The Hague.
“Kami kecewa dengan keadaan ini dan kami mohon maaf,” katanya.
Lebih 9,300 individu didapati positif Covid-19 pada Ahad, berbanding hanya 500, dua minggu lalu, dengan negara itu melaporkan jumlah jangkitan tertinggi sejak Disember tahun lalu.
Semalam, 8,500 kes jangkitan baharu dilaporkan.
“Lonjakan jumlah kes baru-baru ini lebih cepat daripada diramalkan,” kata Pasukan Pengurusan Wabak Belanda dalam satu surat kepada Parlimen minggu lalu.
“Kita melihat peningkatan jumlah jangkitan terutama dalam kalangan mereka yang berusia 18 hingga 25 tahun,” katanya, menambah jangkitan kebanyakan berlaku di kelab malam dan dalam sektor hospitality.
Bagaimanapun, katanya kumpulan di luar umur itu tidak menunjukkan peningkatan jumlah kes yang ketara.
Kemasukan pesakit di hospital juga tidak menunjukkan peningkatan ketara.
Pada sidang media Jumaat lalu, de Jonge berkata kira-kira 80% rakyat Belanda sudah menerima suntikan vaksin sekurang-kurangnya satu dos.
Tetapi pakar virus bimbang golongan muda yang dijangkiti Covid-10 akan menyebabkan penularan kepada kumpulan umur lain yang masih belum mendapat vaksin. – AFP, 13 Julai, 2021.
Komen