UJIAN saringan besar-besaran Covid-19 dan bersasar yang dilakukan Malaysia pada masa ini menyebabkan jumlah kes positif jangkitan baharu melonjak kerana virus itu memang sudah ada dalam komuniti tetapi tidak dikesan sebelum ini, kata pakar kesihatan.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight penambahan ujian saringan di kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) sudah tentu akan menunjukkan lonjakan kes Covid-19, kerana jika tidak kawasan itu tidak akan diletakkan di bawah kawalan ketat.
Pengerusi Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor Dr Dzulkefly Ahmad menggunakan analogi koloni semut untuk menggambarkan situasi Covid-19 dalam negara, berkata pihak berkuasa tidak akan mengatasi pandemik ini jika tidak memberi perhatian kepada jangkitan dalam komuniti.
“Bila anda jumpa koloni semut, mungkin ada sikit, tetapi bila anda buka sarangnya, anda mungkin jumpa lebih banyak semut yang memang ada di situ tetapi tidak kelihatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Ya, mereka betul (ujian saringan menyebabkan lebih banyak kes positif), tetapi selepas ujian, jika tidak kesan, asingkan dan vaksin, kita akan terus gagal.”
Malaysia melaporkan lebih 9,000 kes jangkitan baharu setiap hari selama tiga hari berturut-turut hingga angka itu turun kepada 8,574 kes baharu semalam – menunjukkan jumlah ujian lebih rendah pada hujung minggu.
Ketua Pengarah kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata lonjakan jumlah kes berlaku kerana ujian saringan berskala besar dilakukan di kawasan PKPD.
Pada masa ini, 36 mukim di Selangor dan 16 lokaliti di Kuala Lumpur dikenakan PKPD selama dua minggu hingga 16 Julai.
Dr Dzulkefly, yang juga bekas menteri kesihatan berkata pengesanan kontak automatik satu-satunya cara untuk Malaysia mengurangkan jumlah jangkitan.
“Asingkan mereka cepat. Anda tidak perlu sahkan dengan ujian RT-Ag atau RT-PCR di mana seseorang perlu kadang-kala menunggu beberapa hari untuk dapat panggilan telefon daripada pegawai jabatan kesihatan.
“Kemudian tunggu lagi beberapa hari untuk dapat keputusan, kemudian tunggu lagi untuk diarahkan pergi ke pusat penilaian Covid-19, dapatkan gelang merah jambu, kemudian dihantar ke pusat kuarantin Maeps atau kuarantin kendiri di rumah.
“Semua proses ini ‘langkah mengehadkan kadar’ dan lambat.”
Katanya, ia akan menyebabkan Malaysia mengambil masa sebulan atau dua bulan tempoh jangkitan (empat minggu) sebelum jumlah jangkitan dapat dikurangnya dengan ketara. – 13 Julai, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen