STATUS doktor kontrak akan dibincangkan pada mesyuarat Kabinet pada Rabu depan, kata Persatuan Perubatan Malaysia.
Pengerusi Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (Schomos) Dr Vijay Ganasan berkata, keputusan dibuat susulan pertemuan mereka dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 25 Jun dan bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba minggu lalu.
“Kita mengadakan pertemuan yang bermanfaat berbanding pertemuan sebelum ini. Masalah mengenai sistem kontrak akan dibahaskan dalam mesyuarat Kabinet akan datang.
“Kita mahukan masalah ini diselesaikan secepat mungkin, tetapi kita juga mahu isu ini dibentangkan di Parlimen bagi mencari penyelesaian jangka panjang.
“Kami berharap penantian semua petugas kesihatan kontrak untuk syarat pengambilan pekerja yang lebih baik dan akses kepada pembangunan professional akan segera berakhir.
“Pemilihan untuk jawatan tetap juga harus dilakukan secara berkala dan telus, dengan kriteria peringkat diberitahu kepada semua orang terlebih dahulu,” kata Ganasan dalam sidang media bersama dalam talian yang diadakan melalui aplikasi Zoom.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah wakil dari Akademi Perubatan Malaysia (APM), Gabungan Kesihatan Malaysia, Majlis Pergigian Malaysia, Persatuan Gabungan Pengamal Perubatan Malaysia, Lembaga Farmasi Malaysia, Persatuan Jururawat Lelaki Malaysia, Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia, Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Malaysian Medics International, Persatuan Radiografi Malaysia dan Persatuan Juruteknologi Makmal Perubatan Malaysia.
Ganasan berkata lanjutan selama setahun yang ditawarkan untuk doktor kontrak oleh kerajaan dari 5 Disember 2021 sehingga 4 Disember 2022 bukanlah penyelesaian.
“Jika anda ingin mengubati penyakit, anda peru cari penyebabnya dan mengatasinya dengan betul. Sistem penjagaan kesihatan sakit, kita perlukan penyelesaian jangka panjang yang tepat,” katanya. – 12 Julai, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen