CHINA berjaya mewujudkan sebuah sistem perlindungan alam yang lengkap dengan sebahagian besar kawasan ekosistem semula jadi telah dipelihara sepenuhnya dan sistematik.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Ekologi Kementerian Ekologi Alam Sekitar China, Cui Shuhong berkata, ia juga menyaksikan habitat kepada haiwan liar diperbaiki dengan berkesan.
Menurut beliau, seperti yang tular di China baru-baru ini, jumlah panda gergasi liar kini mencatat lebih 1,800 ekor, sekali gus tahap ancaman spesies itu diturunkan dari “hampir pupus” ke “mudah pupus”.
“Selain itu, ikan paus Bryde’s (Bryde’s whale) sekali lagi muncul di Teluk Dapeng di bandar Shenzhen selepas lebih 10 tahun dan ia difahamkan berkemungkinan terdapatnya banyak makanan di perairan tersebut.
“Tambahan lagi, turut berjaya dikesan adalah pergerakan harimau Siberia yang dilaporkan berada di bandar Shuangyashan, wilayah Heilongjiang dan kerajaan tempatan turut mengeluarkan amaran selain memasang kamera jarak jauh untuk mengawasi haiwan tersebut,” kata Cui.
Dalam perkembangan lain, menjelang Konvensyen Biodiversiti PBB ke-15 di China pada Oktober nanti, negara Tembok Besar ini mengumumkan kesediaannya untuk mempertingkat kerjasama dengan masyarakat antarabangsa dalam pemeliharaan ekologi dan tadbir urus alam sekitar antarabangsa. – Bernama, 12 Julai 2021.
Komen