Hospital Klang terima sumbangan kontena, tampung mayat korban Covid-19


Mohd Farhan Darwis

Sejak malam tadi, tular di media sosial beberapa potongan video yang menunjukkan sebuah kontena sejuk beku di tepi jalan tidak jauh dari HTAR Klang. – Gambar Facebook, 12 Julai, 2021.

HOSPITAL Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang menerima sumbangan sebuah kontena sejuk beku, yang disewa untuk tempoh dua minggu, bagi menampung mayat korban pandemik Covid-19, kata Ketua Pemuda Umno Kota Sheikh Weshal Sheikh Ahmad, yang terlibat mengatur sewaan itu.

Kontena itu disumbangkan Pemuda Umno Kota Raja dengan kerjasama sebuah badan masyarakat pelbagai kaum Pertubuhan Integrasi Nasional.

Sheikh Weshal mengaku usaha menyampaikan sumbangan itu semalam sempat tular di media sosial selepas ada sedikit salah faham dengan pihak berkuasa hospital.

Katanya, pihak pengurusan hospital pada mulanya enggan menerima kontena mereka kerana sedang menunggu ketibaan lapan kontena yang dipesan Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

“Sudah selesai dan pihak hospital pun sudah terima kontena kami.

“Apabila kontena KKM sampai, saya akan ambil baliklah (kontena yang disewa),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Penyerahan kontena itu dibuat tengah malam tadi, tambahnya.

Sheikh Weshal menjelaskan kontena itu disewa pada kadar RM35,000 untuk 14 hari, selepas mendapat maklumat ada mayat di hospital yang tidak dapat disimpan di dalam peti sejuk beku.

Kos sewa itu diusahakan daripada dana Pemuda Umno Kota Raja dan Pertubuhan Integrasi Nasional, katanya.

Menurut Sheikh Weshal mereka mendapatkan kontena itu 3 petang semalam selepas pihak hospital bersetuju untuk menerima bantuan.

Bagaimanapun hospital kemudian tidak membenarkan kontena itu masuk ke kawasan hospital semasa mereka menghantarnya kira-kira 10 malam.

Sejak malam tadi, tular di media sosial beberapa potongan video yang menunjukkan sebuah kontena sejuk beku di tepi jalan tidak jauh dari HTAR Klang.

Video berkenaan memaparkan seorang lelaki berbaju putih yang melahirkan rasa kesal kerana hospital tidak memberi kebenaran untuk kontena itu diletakkan di hospital.

Video lain kemudian menyusul menunjukkan lelaki berkenaan yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda Umno Bahagian Kota Raja Mohd Azhar Osman selesai menyerahkan kontena kepada pihak hospital.

Dalam video itu, Raja Azhar berkata kontena berkenaan disewa dengan kos RM35,000. Beliau juga berkata mereka hanya “hendak beri” dan bukannya mengenakan bayaran untuk kontena itu.

Azhar yang juga ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Integrasi Nasional turut lega perkara itu dapat diselesaikan dengan baik.

“Kita nak bantu sebab ada video mayat terletak atas lantai. Kita ambil inisiatif membantu dengan hanyar kontena. Kami sekadar membantu sahaja,” katanya kepada The Malaysian Insight.

The Malaysian Insight menghubungi HTAR Klang yang memaklumkan sebarang komen perlu dirujuk kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

HTAR Klang bagaimanapun memuat naik komen di laman media sosialnya, merakamkan penghargaan atas sumbang kontena berkenaan.

HTAR Klang menjadi tumpuan sejak seminggu lalu selepas dilaporkan hampir lumpuh menampung bilangan pesakit Covid-19 yang bertambah.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago lalu menggesa KKM menyalur segera peruntukan RM20 juta kepada hospital itu, yang boleh digunakan antara lain untuk membeli alat bantuan pernafasan.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba sebelum itu mengumumkan tambahan 150 katil serta peralatan tambahan yang dianggar bernilai RM1.1 juta untuk HTAR Klang. – 12 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen