Denmark akan dakwa 1,000 remaja sebar video lucah melalui Facebook


Kes penyebaran video lucah itu yang sampai ke Denmark melalui Europol membabitkan lebih kurang 800 lelaki dan 200 gadis yang rata-rata mereka berusia dalam lingkungan 15 dan 20 tahun. – Gambar AFP, 15 Januari, 2018.

LEBIH 1,000 remaja di Denmark akan didakwa kerana menyebarkan video seks pasangan remaja berusia 15 tahun melalui Facebook, kata polis negara itu hari ini.

Kes ini merupakan yang terbesar di negara itu buat masa ini.

Facebook telah menerima laporan dua video dan sekeping gambar lucah sejak 2015 yang disebarkan melalui perkhidmatan mesejnya yang menayangkan seorang lelaki dan perempuan melakukan hubungan seks. Syarikat itu kemudiannya melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Bahan lucah itu telah tersebar melalui Facebook sejak 2015 sehinggalah tahun lalu.

Kes itu yang sampai ke Denmark melalui Europol membabitkan lebih kurang 800 lelaki dan 200 gadis yang rata-rata mereka berusia dalam lingkungan 15 dan 20 tahun.

Polis dalam proses untuk mendakwa kesemua mereka.

“Ini adalah kes yang rumit dan sangat besar yang memerlukan tempoh yang panjang untuk disiasat. Terutamanya kerana ia melibatkan ramai orang,” kata penyiasat polis Lau Thygesen dalam satu kenyataan.

Walaupun undang-undang Denmark membenarkan remaja berusia 15 tahun sebagai dewasa, namun penyebaran aktiviti atau bahan berunsur seks yang melibatkan umur bawah 18 tahun masih dianggap sebagai pornografi kanak-kanak. – AFP, 15 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen