Pakatan selar keputusan lanjutan setahun doktor kontrak


Majlis Kesihatan PH berkata pandemik Covid-19 sepatutnya dapat membuka mata kerajaan tentang betapa perlunya perubahan radikal dilakukan terhadap sistem penjagaan kesihatan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Julai, 2021.

LANJUTAN tempoh setahun diberikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada doktor kontrak adalah penyelesaian jangka pendek yang tidak memberi manfaat kepada masa depan sistem penjagaan kesihatan negara, kata jawatankuasa kesihatan Pakatan Harapan (PH).

Ia juga tidak menyelesaikan masalah yang dihadapi doktor kontrak sejak beberapa tahun lalu.

“Lanjutan atau pelantikan semula secara kontrak untuk pegawai perubatan dari 5 Disember tahun ini hingga 4 Disember, 2022 tidak selaras dengan kepentingan jangka panjang sektor penjagaan kesihataan negara.

“Ia tidak menyelesaikan masalah dihadapi doktor kontrak kerana tidak ada penyelesaian susulan,” kata majlis itu dalam satu kenyataan ditandatangani ahlinya, bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye, Ahli Parlimen Bangi Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Lumut Dr Mohd Hatta Md Ramli dan Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii.

Lanjutan tempoh setahun itu diumumkan Selasa lalu menerusi pekeliling kementerian. Ia tidak diterima baik dalam kalangan doktor kontrak yang menyifatkan langkah itu hanya bertujuan “menutup mulut” mereka.

Doktor kontrak dalam sistem kesihatan awam mendesak untuk mendapatkan pekerjaan, laluan untuk menjadi doktor pakar, layanan adil dan saksama antara staf kontrak dan tetap, serta kriteria telus ketika diambil untuk jawatan tetap.

Sejak sistem doktor kontrak diperkenalkan pada 2016, hanya 789 daripada 23,077 doktor kontrak yang diberikan jawatan tetap dalam kementerian.

Tanpa jawatan tetap, doktor terbabit tidak dapat meneruskan pengajian untuk menjadi doktor pakar kerana program sarjana perubatan di universiti tempatan dan institusi luar negara hanya diberikan untuk mereka yang berjawatan tetap.

Hari ini, sekumpulan doktor menyeru semua doktor berpakaian hitam ke tempat bertugas menerusi kempen Code Black, yang disokong oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA). Kempen ini berbeza daripada Hartal Doktor Kontrak atau mogok yang dijadualkan pada 26 Julai.

Majlis PH berkata pandemik Covid-19 sepatutnya dapat membuka mata kerajaan tentang betapa perlunya perubahan radikal dilakukan terhadap sistem kesihatan negara, bukan saja daripada aspek infrastruktur tetapi juga kapasiti tenaga kerja.

Pada masa ini, nisbah doktor-populasi ialah 1:454 dan angka itu tidak sama di seluruh negara dengan lebih banyak doktor tertumpu di kawasan bandar, menyebabkan penjagaan kesihatan di kawasan pedalaman tidak begitu baik, kata majlis itu.

Ia menggesa kerajaan menjawab isu dibangkitkan oleh doktor kontrak bagi memastikan kriteria berdasarkan merit dan ketelusan diambil kira ketika melantik ke jawatan tetap, dan memberikan peluang sama adil untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pakar bagi doktor kontrak dan staf tetap. – 12 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen