Richard Branson capai impian ke angkasa lepas


JUTAWAN Britain, Richard Branson menyifatkan pengalamannya terbang ke angkasa lepas dengan kapal Virgin Galactic sebagai pengalaman seumur hidup, yang diharap dapat melancarkan era pelancongan ke angkasa.

Kejayaan misi ini membolehkan beliau menyaingi seorang lagi jutawan Jeff Bezos, pemilik syarikat Blue Origin, dalam perlumbaan ke melintasi angkasa lepas.

“Saya mengimpikan saat ini sejak kecil lagi, tetapi sejujurnya tiada apa yang setanding pemandangan melihat bumi dari angkasa,” katanya selepas penerbangan itu.

Branson, tiga penumpang dan dua juruterbang (kesemuanya pekerja Virgin) melintasi sempadan ruang angkasa yang diiktiraf AS, mencapai ketinggian 86km dan kemudiannya mendarat di Spaceport, New Mexico.

“Tahniah kepada semua pasukan kami yang hebat di Virgin Galactic yang selama 17 tahun bekerja keras dan keras untuk membolehkan kami sampai sejauh ini,” kata Branson semasasiaran langsung kapal angkasa VSS Unity.

Pengasas Virgin Group berusia 70 tahun ini mempunyai minat dalam segala hal, bermula dari penerbangan komersial hingga ke pusat kecergasan, terkenal dengan minat aktiviti mencabar seperti belon panas dan berperahu.

Beliau mengasaskan Virgin Galactic pada 2004, tetapi impiannya hampir berkubur pada 2014 apabila kemalangan dalam penerbangan menyebabkan kematian seorang juruterbang, sehingga membawa kepada penangguhan program ini.

Sejak itu, VSS Unity berjaya sampai ke ruang angkasa tiga kali, pada 2018, 2019 - melibatkan anak kapal pertama yang bukan juruterbang - dan terakhir pada Mei tahun ini.

Penerbangan Ahad lalu berlepas dari Spaceport America, sebuah pangkalan besar yang dibina di padang pasir Jornada del Muerto, sekitar 20 batu di tenggara bandar terdekat, Truth or Consequences.

Dibiayai sebahagian besarnya oleh negeri New Mexico, Virgin Galactic adalah penyewa utama.

Virgin Galactic merancang dua penerbangan lagi, dan kemudian memulakan operasi komersial secara berkala bermula awal 2022. Matlamat utamanya adalah untuk melakukan 400 penerbangan setiap tahun.

Sebanyak 600 tiket sudah dijual kepada individu dari 60 negara - termasuk selebriti Hollywood - dengan harga bermula AS$200,000 hingga AS$250,000. – AFP, 12 Julai 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen