Korban runtuhan bangunan Florida cecah 90 orang


Pihak pencari dan penyelamat berjaya menemui 90 mangsa runtuhan pangsapuri yang berlaku pada 24 Jun lalu. – Gambar EPA, 12 Julai, 2021.

JUMLAH korban runtuhan pangsapuri di Florida pada bulan lalu kini meningkat kepada 90 orang, kata para pegawai pada Ahad, dengan 31 orang lagi masih belum diketahui selepas tragedi itu.

Champlain Towers South, sebuah bangunan 12 tingkat yang dibina pada 1981 di Surfside, sebuah bandar di utara Miami Beach, runtuh pada 24 Jun, ketika puluhan penghuninya sedang tidur.

“Jumlah kematian yang disahkan kini 90 orang. Seramai 71 mangsa sudah dikenal pasti,” kata Datuk Bandar Miami-Dade County, Daniella Levine Cava pada taklimat harian.

Lebih 6,000 tan konkrit dan serpihan lain dikeluarkan dari lokasi kejadian, katanya.

Operasi pemulihan berjalan sepanjang waktu, dan anggota kecemasan berada di bahagian masuk tempat kereta bawah tanah, kata ketua bomba Miami-Dade, Alan Cominsky.

Penyelamat Israel yang mengambil bahagian dalam operasi di Surfside, dijangka pulang pada Ahad.

Beberapa siasatan sedang dijalankan untuk menentukan punca runtuhan. Bahagian bangunan yang masih teguh diruntuhkan dalam letupan terkawal untuk membolehkan operasi pencarian diteruskan.

Laporan 2018 yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan menunjukkan kebimbangan “kerosakan struktur besar” di kompleks itu, dari papak konkrit di bawah dek kolam hingga tiang dan alang di garaj tempat letak kereta.

Gabenor Surfside Charles Burkett berkata pada Ahad yang hasil ujian awal menunjukkan kekuatan konkrit bangunan dalam keadaan baik. – AFP, 12 Julai 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen