Utamakan kesihatan mental pelajar universiti


PEMBELAJARAN secara atas talian yang berlanjutan sejak lebih setahun lalu menyebabkan pelajar mengalami tekanan dan lesu upaya dengan beban kerja yang tidak munasabah.

Mengambil kira situasi pandemik yang semakin kritikal melanda negara kita, pelajar tidak seharusnya diharapkan untuk meneruskan pembelajaran seperti tiada apa-apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Berita Harian pada 10 Julai 2021 melaporkan satu kes pelajar IPTA meninggal dunia disyaki akibat tekanan belajar secara atas talian. 

Perkara ini dikukuhkan lagi dengan kenyataan oleh keluarga beliau dalam Utusan Malaysia pada 11 Julai 2021 yang menyatakan bahawa sejak kebelakangan ini, beliau mengadu sakit kepala kerana bebanan belajar. 

Justeru, Gerakan Mahasiswa Demokratik (GMD) dan Parti Ikatan Demokratik (Muda) menggesa pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk mengambil tindakan yang tegas dan tuntas supaya kesihatan mental pelajar terjaga.

Kami mencadangkan beberapa penyelesaian bagi masalah ini: 

  1. Bebanan kerja perlu diminimumkan serta tiada tugasan atau ujian saat akhir dijalankan. Kalendar akademik dan rangka kursus tidak boleh diubah sesuka hati tanpa persetujuan pelajar. 
  2. Masa rehat selama seminggu harus diberikan selepas setiap empat minggu. Tiada ujian, kuiz atau tarikh akhir penghantaran tugasan dalam minggu tersebut.
  3. Tarikh akhir penghantaran tugasan harus dilanjutkan supaya pelajar mempunyai masa yang cukup untuk menyiapkannya tanpa tekanan berlebihan. 
  4. Semua kelas, ujian atau kuiz hanya dihadkan kepada waktu bekerja sahaja supaya tidak mengganggu masa pelajar untuk menguruskan hal lain dan memberi peluang kepada pelajar untuk berehat. 
  5. Subjek yang tidak penting harus dihapuskan agar pelajar dapat fokus kepada subjek penting yang memberi impak kepada kebolehpasaran pelajar setelah bergraduasi. 
  6. Semua pihak terutamanya tenaga pengajar perlu berhenti menyalahkan mangsa, menuding jari dan berdolak-dalik agar dapat mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi punca masalah seperti kekangan kewangan, kebajikan keluarga dan lain-lain.

Merujuk kepada Kenyataan Media oleh Jabatan Komunikasi Korporat UiTM pada 11 Julai 2021, kami menempelak sikap UiTM yang mengutarakan isu ini dalam tona defensif. 

Pihak universiti seharusnya mengakui kesilapan dalam pentadbiran serta perancangan pembelajaran yang menyebabkan pelajar tertekan dengan pembelajaran atas talian. 

Kami berharap agar pihak KPT dan semua IPT memandang serius masalah kesihatan mental pelajar supaya tragedi seperti ini tidak lagi berulang. 

Jika tiada sebarang perubahan yang mencukupi dibuat selepas ini, maka pihak-pihak bertanggungjawab akan dilihat seperti langsung tidak kisah akan kebajikan dan kesihatan pelajar. 

Di kesempatan ini, kami menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan kenalan kedua-dua Allahyarhamah dan Allahyarham, semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. 

* Affan Nassruddin, Ketua Penerangan Gerakan Mahasiswa Demokratik dan Dr. Mathen, Pengarah Libat Urus & Mobilisasi  Parti Ikatan Demokratik (Muda).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen