Tingkatkan ujian di kawasan PKPD di Selangor dan KL, kata ahli Parlimen


Bernard Saw

Beberapa ahli Parlimen mendesak agar ujian dan vaksinasi dijalankan dengan segera di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai, 2021.

BEBERAPA ahli Parlimen persekutuan dan negeri mengkritik Kementerian Kesihatan yang didakwa lambat menjalankan ujian dan dalam menangani wabak Covid-19 di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur. 

Rungutan mereka berdasarkan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada 9 Julai lalu bahawa hanya 10% penduduk di kawasan PKPD sudah diuji.

Mereka juga mendesak kementerian meningkatkan vaksinasi di daerah zon merah ini, mencadangkan agar kerajaan dapat memberikan vaksin terlebih dahulu dan mendaftar kemudian bagi memastikan lebih ramai menerima vaksin. 

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, pemeriksaan aktif adalah langkah penting yang perlu diambil oleh kerajaan bagi mengawal wabak berkenaan. Beliau berkata kes positif harus disaring, diasingkan dan dirawat.

Beliau juga menyebut jumlah kes Covid-19 yang tinggi dan kes kematian di luar hospital.

Tambahnya, jika keadaan tidak terkawal, hospital mungkin kehabisan alat bantuan pernafasan kerana jumlah kes parah yang meningkat. 

Pemeriksaan dan vaksinasi besar-besaran di kawasan PKPD adalah satu-satunya jalan keluar dari wabak dan untuk menyelamatkan sistem kesihatan dari runtuh, kata Santiago. 

“Kita belum melihat sebarang perkembangan. Kerajaan harus secara aktif mengambil langkah-langkah ini,” katanya. 

Beliau berkata, keputusan menubuhkan hospital medan tentera di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang hanya mencerminkan keadaan yang teruk dan menunjukkan bahawa pihak berkuasa hilang kawalan mengawal keadaan tersebut.

Tambahnya, peruntukan RM1.1 juta oleh kerajaan untuk membeli peralatan tambahan di hospital adalah sesuatu yang melucukan.

“Jumlah pesakit meningkat, bukan hanya di Klang tetapi juga di hospital besar lain di Lembah Klang. Mereka (kerajaan) sudah gagal,” katanya.

Santiago berkata, kerajaan harus meningkatkan vaksinasi di Lembah Klang dengan menjalankannya terlebih dahulu dan mendaftar kemudian.

Beliau berkata, proses vaksinasi semasa janji temu tidak dapat dilaksanakan dan pihak berkuasa sebaliknya harus membenarkan kehadiran terus. – 11 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen