EMPAT orang terkorban dalam satu letupan yang menggegarkan sebuah bandar pelabuhan Laut Merah Sudan, demikian menurut pegawai hari ini.
Ini merupakan kejadian terbaru dalam satu siri insiden keganasan di kawasan itu.
Ketegangan semakin memuncak di mana penunjuk perasaan anti-kerajaan dilapor menghalang jalan raya susulan peningkatan keadaan tidak selamat dalam beberapa hari ini di Pelabuhan Sudan.
Media tempatan mengaitkan rusuhan ini tercetus susulan perjanjian damai suku Hedendoa pada Oktober antara kumpulan pemberontak dan kerajaan Sudan.
Hadendoa, etnik terbesar orang Beja di rantau ini, bimbang suku mereka akan kekurangan wakil dalam badan perundangan dan eksekutif wilayah berkenaan berdasarkan perjanjian Juba.
Letupan yang tercetus di sebuah kelab sukan yang sibuk di Pelabuhan Sudan, ibu kota wilayah Laut Merah, petang semalam turut melibatkan serangan bersenjata.
“Alat peledak diletupkan di kelab Al-Amir ... membunuh empat orang,” kata Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, tiga yang lain dikhuatiri cedera selepas ditembak atau ditikam.
Saksi berkata serangan itu didalangi sekumpulan lelaki bersenjata tidak dikenali yang menunggang motosikal.
Namun, buat masa ini motif serangan belum dapat dipastikan. – AFP, 11 Julai, 2021.
Komen