POLIS Thailand memberi amaran bahawa peserta ratu cantik negara itu yang mengambil bahagian dalam pertandingan bulan lalu bakal berdepan pertuduhan jenayah kerana gagal memakai pelitup muka.
Ia selepas terdapat 22 jangkitan Covid-19 susulan pertandingan berkenaan.
Menurut pegawai polis, 13 peserta dan sembilan individu lain yang terlibat dalam pertandingan Miss Grand Samut Sakhon, yang diadakan di sebuah lokasi di Bangkok pada akhir bulan Jun, disahkan positif Covid-19.
Thailand sedang berdepan gelombang ketiga pandemik itu dengan 9,539 kes baharu dan 86 kematian diumumkan semalam.
“Kemungkinan ramai yang terlibat dalam pertandingan itu termasuk peserta yang melanggar peraturan dan undang-undang,” kata Pegawai Polis, Deputi Komisoner Piya Tawichai kepada wartawan di Bangkok pada hari ini.
Menurut Piya, penganjur pertandingan sudah mendapat kebenaran untuk mengadakan acara tersebut, namun harus mematuhi 20 peraturan khusus, termasuk memakai pelitup muka.
“Individu yang menghadiri pertandingan dan tidak memakai topeng juga (melanggar) peraturan darurat dan undang-undang kawalan penyakit,” kata Piya.
Tambahnya, penganjur serta peserta pertandingan peringkat wilayah itu sedang disiasat dan kemungkinan mereka berdepan tuduhan jenayah.
Foto di laman Facebook acara itu menunjukkan finalis yang mengenakan busana dan selendang, gagal memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan sosial.
Penganjur pertandingan sudah diminta untuk memberikan keterangan kepada pihak polis.
Akhir minggu lalu, kerjaan Thailand mengumumkan perintah berkurung di seluruh Bangkok dan sembilan wilayah panas lain termasuk melarang orang awam keluar dari jam 9 malam hingga 4 pagi berkuatkuasa pada Isnin. – AFP, 11 Julai, 2021.
Komen