Menunggu wirawan bayangan Shahnon Ahmad


Haris Hauzah

“NAMUN perdana menteri sudah lama membuat keputusan: dia tidak akan membiarkan dirinya dikeluarkan melalui lobang keramat itu keseluruhannya. Dia juga tidak akan mengeluari dirinya sendiri melalui lobang keramat itu. Yang boleh keluar cuma kentut angin atau paling-paling kentut bersama cirit-birit yang sukar dikawal”.

“Namun dirinya dan diri batang taik yang berkapukan ahli-ahli barisannya tidak akan membiarkan diri masing-masing terlonjak keluar melalui wadah lobang keramat itu. Kekuasaan dengan sendirinya akan terhakis bila keluar dari perut kekuasaan sekarang ini.”

Itu adalah sepenggal daripada satu perenggan ayat dalam novel Shit karya sasterawan negara Shahnon Ahmad yang pernah diharamkan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional.

Shit bukan sebuah karya politik marah-marah yang tak berhujung pangkal. Ia telah diuji oleh zaman sebagai sebuah novel Melayu bertaraf ‘nostradamus’ dalam dunia politik Melayu yang banyak pertikaman.

Emosi bengang terhadap hal-hal politik serta rasa mual dengan segala kepandiran urusan politik kepartian berkerajaan dalam Shit bukan sesuatu yang selalu dapat kita baca dan temukan. Kemarahan yang disumbat padat oleh Shahnon dengan keragaman cemuhan yang padu dan sendat pasti tidak akan dapat mana-mana pembaca lupakan.

Ada sebab yang signifikan dan meyakinkan mengapa sasterawan negara kedua itu menghujahkan politik dalam suatu keadaan yang sangat keji serta penuh kebusukan.

Kegeniusan Shahnon memberatkan kecenderungan setiap inci tulisan novel satira juvenalianya itu dengan segala macam caci maki, adalah merupakan kunci kepada kompleksiti kehodohan situasi politik Malaysia.

Naratif Shit yang memuntahkan banyak sekali penistaan tentang kebobrokan politik dan kebusukan peribadi pemain-pemainnya yang zalim dan jahat sebenarnya adalah perincian wacana politik beracuan kebangsaan – dunia politik Melayu yang serba licik dan sial.

Tradisi politik dalam Shit bukan suatu keluhan atau bebelan. Ia suatu retrospektif politik korup yang penuh dengan korpus fitnah, kecurangan, pembelotan, pengkhianatan, kelicikan, tipu helah, sogokan dan rasuah yang hari ini dikenal sebagai ‘scheme of things’.

Segala kebabian dan keanjingan permainan politik yang berstrategikan pelan pembohongan dan kepura-puraan hari ini diperpanjangkan.

Kesinambungan realiti kejadongan pemimpin parti-parti politik dalam kerajaan hari ini yang kerakusan kuasa merampas kini terdesak untuk mengekalkan penguasaan setelah mendapat jutaan desakan melepaskan jawatan.

Kerasukan mahu terus bergelar menteri. Tamak untuk terus kekal menguasai pentadbiran walau telah gagal menguruskan isu kesihatan dan ekonomi yang makin teruk melarat. Semua itu akhirnya menjadikan kerajaan hari ini sebagai sebuah kerajaan yang gagal secara total.

Negara hanya berkemampuan untuk menumbuhkan semula ekonomi apabila berjaya menangani isu-isu kesihatan. Isu ekonomi dan kesihatan bukanlah soal keseimbangan. Sebaliknya adalah pilihan apa yang kerajaan mahu dahulukan menjadi keutamaan untuk diselesaikan dahulu dengan bermacam strategi dan perancangan.

Apa yang menambahkan lagi keracunan dalam kerajaan ini apabila wujud perseteruan antara parti dalam kerajaan. Perebutan pengaruh dan perlumbaan kuasa dua parti Melayu dalam pakatan mereka turut gagal diuruskan.

Inspirasi dalam politik bisa saja datang dalam bentuk retorik yang berslogankan prihatin, pemerkasa, penjana atau pemulih untuk rakyat. Walau bagaimanapun Shit ada memberikan panduan.

“Perdana menteri pasti akan bertindak menggunakan kaedah kesongsangan dan kesasauannya meskipun nampak bagaikan dia tak akan bertindak apa-apa kerana senyuman yang terlorek di kepalanya yang tumpul dan lengguk kepalanya yang mampat itu begitu lunak dan mesra tapi jauh di dalam hatinya, itu pun kalaulah dia punya hati, kebusukan yang menjadi inti pati dirinya menggental dan tak lama lagi akan berseronyehan tak menentu untuk memalit dan mencalit para lendir dan para nanah kepada sesiapa saja yang belum terpalit belum tercalit.”

Dalam tradisi politik Melayu. Hanya ada tiga hal yang selalu dikumandangkan. Iaitu ketinggian nasionalis, ketuanan Melayu dan kedaulatan Islam. Tiga hal inilah yang selalu dijual pada setiap kali pilihan raya.

Keunggulan dan kepentingan tiga hal tadi membutakan mata kita tentang bagaimanakah rupa pimpinan yang korup, zalim dan jahat.

Kita jadi manusia yang enggan mengangkat kematangan politik berjeniskan prinsip dan keadilan. Kita menolak kecerdikan politik yang mendokong perjuangan menguruskan kumpulan minoriti dan menentang segala jenis korupsi yang jahat menindas.

Dalam Shit ada disebutkan perihal Wirawan – seseorang yang “...terpaksa menyerahkan saja tugas itu kepada rakyat kerana di depannya dia mempunyai tugas  besar lain, khususnya untuk membawa rakyat sama-sama mengisi lebuh raya baru dengan keindahan, keimanan, keadilan dan keikhlasan.”

Wirawan itu boleh jadi seseorang yang tidak pernah berpeluang menjadi perdana menteri pilihan seorang negarawan. Kerusi perdana M=menteri yang pernah dijanjikan boleh jadi sering dikhianati pada setiap kemuncak pengkhianatan.

Nah, dalam situasi dan keadaan politik yang serba membusuk hari ini. Mungkin Wirawan itulah yang wajar kita sokong dan naikkan. Wirawan yang sanggup melawan politikus yang mencirit di tengah kesengsaraan rakyat. – 11 Julai, 2021.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen