FASILITI perkapalan yang dilengkapi sistem pintar dan hijau mampu menjana pembangunan berkualiti sektor berkenaan di China, menurut seorang pakar.
Dalam forum secara maya sempena Hari Pelayaran China ke-17 hari ini, presiden Institut Pelayaran China, He Jianzhong berkata, sektor perkapalan domestik kini mempunyai peluang penting apabila pusat perkapalan dunia sedang beralih ke Timur.
Menurutnya, pelabuhan pintar dan laluan pelayaran hijau yang mengaplikasikan teknologi canggih menjadi pencetus baharu untuk memacu pembangunan berkualiti.
Bagi negara-negara terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), pelabuhan adalah titik penting dalam mewujudkan kesalinghubungan.
Justeru katanya, projek pembinaan pelabuhan di luar negara merupakan platform penting untuk pelaksanaan BRI serta kerjasama kapasiti pengeluaran antarabangsa.
Sementara itu, pihak penganjur berkata, kira-kira 95 peratus komoditi dagangan antarabangsa di China dikendalikan melalui penghantaran laut.
Sektor tersebut amat penting bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan dan logistik antarabangsa, serta mendorong pertumbuhan dagangan dunia.
Data Kementerian Pengangkutan China menunjukkan, jumlah import dan eksport China menerusi penghantaran laut mencecah 3.46 bilion tan tahun lalu, meningkat 6.7 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menyumbang 30 peratus kepada keseluruhan perdagangan laut global. – Bernama, 11 Julai, 2021.
Komen