Persidangan kecerdasan buatan sedunia lakar kejayaan


Persidangan Kecerdasan Buatan Sedunia (WAIC) 2021 melabuhkan tirainya semalam menyaksikan pemeteraian perjanjian membabitkan 26 projek penting dengan nilai melepasi RM6.47bilion. – Gambar EPA, 11 Julai, 2021.

PERSIDANGAN Kecerdasan Buatan Sedunia (WAIC) 2021 yang melabuhkan tirainya semalam menyaksikan pemeteraian perjanjian membabitkan 26 projek penting dengan nilai melepasi sepuluh bilion yuan (RM6.47bilion).

Difahamkan, projek berorientasikan kecerdasan buatan (AI) tersebut merangkumi bidang ekologi, lalu lintas pintar, kesihatan, robot dan sebagainya.

Selain 13 jenis produk AI pertama kali dipertontonkan kepada umum, Perikatan Perniagaan Data Nasional turut memulakan operasinya secara rasmi.

Menurut Ketua Pusat Inovasi Data Shanghai (SDIC), Lu Yong, pada masa depan, data raya berasaskan bidang sumber tenaga, pengangkutan, pelancongan dan pendidikan akan diberi akses kepada penggunaan aplikasi, hingga menyumbang kepada pelan transformasi digital bandar raya itu.

Persidangan secara hibrid itu menghimpunkan lebih 1,000 pakar dan usahawan terkenal dalam bidang AI. – Bernama, 11 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen