Pengiktirafan vaksin haji, Mosti runding dengan Arab Saudi, kata timbalan menteri


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata pihaknya berharap dalam tempoh terdekat kerajaan Arab Saudi akan menerima semua jemaah yang telah mendapat suntikan vaksin yang diktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia. – Gambar EPA, 11 Julai, 2021.

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) akan melakukan rundingan dengan kerajaan Arab Saudi berkenaan isu pengiktirafan vaksin Covid-19 membabitkan jemaah haji. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata pihaknya berharap dalam tempoh terdekat kerajaan Arab Saudi akan menerima semua jemaah yang telah mendapat suntikan vaksin yang diktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Katanya setakat ini kesemua vaksin Covid-19 yang dibekalkan kepada kerajaan Malaysia adalah diiktiraf oleh WHO.

“Insya-Allah dalam masa terdekat ini kita berharap untuk kerajaan Arab Saudi menerima semua vaksin yang diktiraf oleh WHO,” katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Penyerahan Sumbangan Inspirasi Qaseh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kampung Sering, di Kota Bharu hari ini.

Sebelum ini, kerajaan Arab Saudi dilaporkan menetapkan hanya jemaah yang menerima vaksin Pfizer dan AstraZeneca dibenarkan menunaikan haji.

Sementara itu, Ahmad Marzuk berkata semua jemaah Malaysia yang tidak dapat menunaikan rukun Islam kelima itu pada tahun ini disebabkan pandemik Covid-19 sudah dimaklumkan terlebih awal.

“Kesemua mereka dapat menerima berita itu dengan baik selain pihak kami turut memberi motivasi dan semangat kepada mereka,” katanya. – Bernama, 11 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen